Ad Banner
 AM > BERITA

Tumbuhan Perubatan Di Malaysia Diancam Kepupusan - CAP

03/03/2026 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac  (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan terhadap penurunan ketara populasi tumbuhan perubatan yang diancam kepupusan di negara ini, sekali gus menyifatkan ia sebagai krisis yang boleh menjejaskan kesihatan awam, biodiversiti dan ilmu perubatan tradisional yang telah diwarisi sejak turun-temurun. 

Bersempena Hari Hidupan Liar Sedunia, Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata kehilangan flora perubatan tidak mendapat perhatian sewajarnya berbanding usaha pemuliharaan hidupan liar lain, walaupun sumbangannya sama penting dalam penjagaan kesihatan, warisan budaya dan kelangsungan ekonomi masyarakat.

“Punca kemerosotan ini sebahagian besarnya disebabkan faktor manusia seperti penebangan hutan untuk pertanian dan pembangunan infrastruktur, penuaian berlebihan bagi memenuhi permintaan komersial, penguatkuasaan undang-undang pemuliharaan yang lemah, perubahan iklim, spesies invasif, tahap kesedaran awam yang terhad dan sifat tamak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mohideen menegaskan tumbuhan perubatan seperti tongkat ali, gaharu dan kacip fatimah bukan sahaja menjadi tunjang kepada amalan perubatan tradisional, malah turut menyokong industri global seperti farmaseutikal, kosmetik, produk makanan dan barangan kesihatan.

Sehubungan itu, beliau berkata tema tahun ini, “Tumbuhan Perubatan dan Aromatik: Memulihara Kesihatan, Warisan dan Mata Pencarian”, menekankan peranan penting spesies tumbuhan liar dalam mengekalkan penjagaan kesihatan, memelihara tradisi budaya serta keselamatan ekonomi.

Mohideen berkata hutan hujan tropika Malaysia diiktiraf sebagai antara kawasan utama biodiversiti terkaya di dunia dan menjadi habitat kepada ribuan spesies tumbuhan yang mempunyai nilai terapeutik.

Sejak turun-temurun, masyarakat tempatan dan pengamal perubatan tradisional bergantung kepada sumber semula jadi tersebut untuk merawat pelbagai penyakit serta meningkatkan kesejahteraan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa beberapa tumbuhan perubatan penting kini berdepan ancaman pemuliharaan yang serius, antaranya Eurycoma longifolia atau tongkat ali, yang dipasarkan secara meluas sebagai penambah tenaga dan suplemen vitaliti lelaki.

“Permintaan domestik dan antarabangsa yang tinggi telah menyebabkan penuaian meluas daripada habitat liarnya. Disebabkan pertumbuhan spesies ini yang perlahan, populasi semula jadi tumbuhan ini terdedah kepada risiko kepupusan,” katanya.

Tumbuhan lain termasuk gaharu, sumber bagi wangian kayu gaharu sangat bernilai, yang telah mengalami penyusutan ketara akibat pembalakkan haram dan eksploitasi berlebihan walaupun terdapat kawalan perdagangan antarabangsa.

Kacip fatimah, yang secara tradisinya digunakan untuk kesihatan reproduktif wanita, juga semakin berkurangan kerana pengumpul sering mencabut keseluruhan pokok, sekali gus mengurangkan peluang untuk pertumbuhan semula.

Begitu juga dengan akar kuning, yang digunakan untuk merawat demam, jangkitan dan diabetes, turut berdepan risiko kepupusan akibat kaedah penuaian yang merosakkan serta kadar pemulihan semula jadi yang perlahan.

“Kepupusan tumbuhan herba ini  bukan sekadar isu alam sekitar, ia juga melibatkan aspek budaya dan ekonomi. Amalan perubatan tradisional Melayu, Orang Asli dan Orang Asal sangat bergantung kepada biodiversiti hutan.

“Apabila spesies ini lenyap, berabad-abad pengetahuan yang terkumpul turut hilang bersamanya. Komuniti luar bandar yang bergantung kepada penuaian lestari sebagai sumber pendapatan tambahan juga bakal kehilangan mata pencarian penting,” katanya.

Bagi menangani krisis ini, Mohideen menyeru pendekatan holistik melibatkan kerajaan, komuniti dan penyelidik, termasuk menggalakkan amalan penuaian lestari, perdagangan beretika serta pemeliharaan ilmu perubatan tradisional bagi memastikan generasi akan datang terus mendapat manfaat daripada khazanah penyembuhan alam semula jadi, sambil mengekalkan keseimbangan ekosistemnya. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan