Ad Banner
 AM > BERITA

Insiden Hina al-Quran: Penuntut Akan Didakwa Esok

02/03/2026 06:43 PM

PUTRAJAYA, 2 Mac (Bernama) -- Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang disyaki terlibat dalam insiden memijak al-Quran serta menyebarkan perbuatan itu melalui media sosial akan didakwa di mahkamah, esok.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati terdapat keterangan mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap S.Vikneswaran berhubung insiden itu yang berlaku di Kuantan.

Menurut kenyataan itu, lelaki terbabit akan didakwa di Kuantan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.

Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, AGC turut memutuskan untuk mendakwanya di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.

“Kedua-dua pertuduhan tersebut akan dikemukakan di Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa pada 3 Mac 2026,” menurut kenyataan itu.

Seksyen 295 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya bersabar serta tidak mengambil tindakan tergesa-gesa sementara siasatan dijalankan oleh PDRM.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan