Ad Banner
 AM > BERITA

LKAN 1/2026: PAC Akan Mulakan Prosiding Ke Atas UKM, Dua Lagi Isu

02/03/2026 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding terhadap tiga isu utama yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026, kata Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata ia melibatkan prosiding pengurusan dan tadbir urus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dibangkitkan LKAN berhubung pelanggaran perlembagaan universiti, aktiviti pungutan hasil tanpa mandat, konflik kepentingan dalam kalangan penjawat awam serta kegagalan pengurusan projek naik taraf bangunan dan fasiliti uzur.

“Isu kedua adalah Program Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (R&D&C&I). Melalui pelaporan LKAN, ekosistem R&D&C&I ini jelas berhadapan dengan defisit prestasi serta pembaziran dan permasalahan tadbir urus yang kritikal, serta kehilangan aset intelektual,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mas Ermieyati berkata prosiding lain berkaitan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB), dengan LKAN telah membangkitkan isu berhubung pengurusan syarikat khususnya krisis tadbir urus projek fizikal yang dijalankan.

“Tarikh prosiding serta senarai saksi yang akan dipanggil bagi memberi keterangan berhubung ketiga-tiga isu berkenaan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata prosiding melibatkan tiga isu berkenaan dibuat selepas mendengar taklimat Ketua Audit Negara berhubung dua laporan utama LKAN 1/2026, iaitu Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 serta Aktiviti Kementerian, Jabatan, Badan-Badan Berkanun Persekutuan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan.

Mas Ermieyati berkata menjadi komitmen berterusan PAC terhadap obligasi semak dan imbang bagi memastikan setiap sen wang pembayar cukai diurus dengan integriti, ketelusan dan kecekapan tertinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan