Ad Banner
 AM > BERITA

90 Peratus Permohonan Turun Kandungan Media Sosial Dipatuhi Penyedia Platform - Teo

02/03/2026 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Sebanyak 90 peratus daripada 115,161 permohonan untuk menurunkan kandungan yang dikemukakan kepada platform media sosial telah dipatuhi dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, sebanyak 103,986 permohonan telah diturunkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Beliau berkata bagi permohonan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), sebanyak 31 daripada 32 kes telah diturunkan membabitkan pelbagai kategori kesalahan.

Ad Banner
Ad Banner

"Antara permohonan yang telah dikemukakan dan diturunkan sepenuhnya termasuklah empat kes penipuan kewangan, enam kes gangguan unsur lucah serta tiga kes kandungan sumbang.

"Sebanyak 10 daripada 11 permohonan berkaitan gangguan bersifat ugutan dan menghina telah diturunkan, manakala lapan kes ucapan kebencian yang mengganggu ketenteraman awam telah diturunkan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Kulai) mengenai statistik pematuhan dan trend penurunan kandungan selepas dua bulan Peruntukan Deeming dikuatkuasakan.

Bermula 1 Jan lepas, semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia disifatkan berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Teo berkata walaupun tempoh pelaksanaan pelesenan baharu sahaja dikuatkuasakan, kadar pematuhan penyedia perkhidmatan dilihat sangat memberangsangkan.

"Saya rasa terlalu awal untuk kita nampak satu trend penurunan bagi kandungan bersifat 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dan ucapan kebencian... Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau situasi pada masa yang akan datang," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai isu bidang kuasa rentas sempadan bagi platform digital luar negara, Teo berkata syarikat media sosial asing diwajibkan melantik wakil tempatan di Malaysia sebagai syarat pelesenan di bawah Peruntukan Deeming.

Beliau berkata syarat itu mewajibkan platform melantik wakil tempatan sama ada individu atau syarikat di Malaysia untuk menerima sebarang dokumen mahkamah atau tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh pihak berkuasa atau Kerajaan Malaysia.

"Setakat ini, lima pemegang lesen mematuhi peruntukan tersebut, iaitu Meta Services yang mengendalikan Facebook dan Instagram, X, WhatsApp, Google serta Telegram Messenger dan TikTok. Pelantikan wakil tempatan ini membolehkan kerajaan mengambil tindakan undang-undang sama ada untuk mendakwa mereka atau memulakan saman sivil dengan menghubungi wakil tersebut bagi tujuan serahan dokumen," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan