Ad Banner
 AM > BERITA

Pendidikan Digital: SJKT Rantau Raih Pengiktirafan MBR

01/03/2026 05:47 PM

SEREMBAN, 1 Mac (Bernama) -- Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rantau melakar kejayaan menerusi pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaian pemasangan panel interaktif pintar terbanyak bagi sekolah Tamil.

Sebanyak 14 unit panel interaktif pintar bersaiz 75 inci atau 190.5 sentimeter dipasang di semua kelas yang dapat memanfaatkan 300 pelajar termasuk murid prasekolah bagi memperkasakan pendidikan digital, hasil usaha murni Pengarah Urusan Linsun Engineering Sdn Bhd Datuk M. Natarajen dan Pengarah Operasi syarikat berkenaan Datuk M. Satishkumar.

Bekas Ahli Dewan Negara Datuk T. Mohan berkata inisiatif itu bukan sekadar penambahan kemudahan, tetapi satu langkah transformasi bagi melonjakkan standard pendidikan sekolah ke tahap lebih tinggi.

Ad Banner
Ad Banner

"Terima kasih kepada dua beradik, Datuk Natarajen dan Datuk Satishkumar, yang juga bekas murid sekolah ini. Kejayaan mereka dalam kerjaya serta kesediaan untuk kembali berbakti kepada sekolah ini wajar dijadikan teladan oleh generasi pelajar masa kini.

“Saya berharap semua pelajar dapat memanfaatkan penggunaan teknologi ini bagi meningkatkan prestasi akademik serta melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut wakil MBR Edwin Yeoh Tiong Chin dan Guru Besar SJKT Rantau K. Mageswary serta pimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid sekolah berkenaan.

Dalam pada itu, Mageswary berkata sumbangan tersebut menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan pembelajaran berteraskan teknologi di sekolah berkenaan.

“Saya percaya sekolah ini terus menerajui kecemerlangan pada masa akan datang kerana kemudahan disediakan lengkap serta memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Beliau berkata guru di sekolah tersebut juga mahir dalam pengendalian teknologi digital, sekali gus membolehkan sesi pembelajaran dilaksanakan secara lebih interaktif, sistematik dan berkesan. 

Mageswary berkata usaha itu juga selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan mata pelajaran Alam dan Manusia berteraskan elemen digital mulai 2027, sekali gus menjadi langkah penting melahirkan generasi murid celik dan kompeten digital.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan