KANGAR, 1 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis melaksanakan pemberian rebat bil air khas kepada pengguna domestik dan komersial di negeri itu yang terjejas banjir pada penghujung tahun lepas berkuat kuasa serta-merta bagi membantu meringankan beban mangsa terlibat.
Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berkata rebat sebanyak 10 meter padu (10,000 liter) bersamaan RM8.80 akan diberikan kepada pengguna domestik, manakala 10 meter padu (10,000 liter) bersamaan RM20.30 kepada pengguna komersial yang layak.
Beliau berkata pemberian rebat itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pengguna yang layak berdasarkan senarai rasmi diselaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pengguna yang tidak tersenarai tetapi terjejas masih boleh mengemukakan permohonan secara manual melalui borang khas yang disediakan kepada pihak SAP (Syarikat Air Perlis).
“Permohonan tersebut akan disemak sebelum rebat dikreditkan ke dalam akaun bil air pemohon yang layak,” katanya pada sidang media selepas Program Imarah Ramadan 1447H/2026M di Dewan Warisan di sini malam tadi.
Abu Bakar berkata permohonan dibuka hingga 31 Ogos nanti bagi memastikan semua mangsa banjir yang layak, termasuk pemilik premis komersial berpeluang menerima bantuan itu selaras usaha kerajaan negeri menyokong proses pemulihan pascabencana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial