Ad Banner
 AM > BERITA

Sedekad Bertahan, Lemang Periuk Kera D'Labu Terus Raih Sambutan

01/03/2026 12:49 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 1 Mac (Bernama) -- Mencecah sedekad selepas kali pertama diperkenalkan, Lemang Periuk Kera D’Labu di sini terus kukuh bertahan dengan sambutan amat menggalakkan khususnya pada Ramadan dan Aidilfitri.

Keunikan rasa lemang yang autentik digandingkan dengan keenakan rendang ayam cili api pasti memikat selera, menjadikan perniagaan milik keluarga Zuraidah Abd Rahman, 55, ini terus menjadi pilihan pelanggan setia.

Ad Banner
Ad Banner

Kini perniagaan yang diwarisi oleh anak bongsunya, Shaihi Nur Izza Shawal, 27, terus dikembangkan melalui rangkaian ejen di beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Melaka bagi memperluas pasaran serta memenuhi permintaan pelanggan.

Shaihi Nur Izza yang mengusahakan perniagaan itu bersama suaminya, Muhammad Zarif Danish Shahrudin, 27, berkata bekalan kelongsong periuk kera diperoleh daripada pembekal tetap dari Bera, Pahang dan perniagaan mereka memerlukan lebih kurang 800 hingga 1,000 kelongsong sehari.

“Permintaan semakin meningkat apabila musim perayaan dan pernah mencecah hingga 15,000 kelongsong, berbanding ketika awal berniaga sekitar 300 sahaja.

“Hingga hari ini, Alhamdulillah bekalan kelongsong tidak pernah terputus kecuali musim hujan dan ketika negara berdepan COVID-19 menyebabkan ramai yang tidak boleh keluar rumah, jadi bekalan kelongsong berkurang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada pencari periuk kera itu sendiri, tumbuhan berkenaan mampu tumbuh semula dalam tempoh singkat, justeru tiada isu kepupusan.

Pemegang ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat itu berkata beliau juga menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri mengenai kaedah penyimpanan yang betul agar tumbuhan itu dapat bertahan hingga sebulan tanpa mengalami kerosakan.

“Sebelum tiba musim tengkujuh kami akan membuat tempahan lebih dan simpan sendiri bagi memastikan bekalan tidak terganggu memandangkan setiap hari kami akan masak lemang periuk kera ini lebih kurang 800 biji,” katanya sambil menambah proses memasak lemang itu mengambil masa sejam.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu, berkata pihaknya sedang mengusahakan tempahan lebih 10,000 lemang periuk kera untuk persediaan raya pada Mac ini.

Shaihi Nur Izza berkata lemang tersebut dijual pada harga RM19 bagi setiap set yang mengandungi empat hingga lima biji lemang berserta rendang ayam cili api.

Beliau yang turut mengusahakan Kafe D’Z di Jalan Mantau-Sendayan berkata permintaan terhadap hidangan tersebut semakin meningkat dan kini dalam proses memohon Geran Agropreneur Muda (GAM) daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mengembangkan lagi perniagaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan