MELAKA, 1 Mac (Bernama) -- Yayasan Belia Sedunia (WYF) dan Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) menyasarkan kutipan sumbangan berjumlah RM1.66 juta bagi melaksanakan program bank makanan pada tahun ini.
Pengerusi WYF Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata pihaknya mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak dan setakat ini, RM388,525 telah dikutip hasil komitmen 21 pihak antaranya badan korporat, syarikat swasta dan individu kepada program berkenaan yang bertujuan membantu meringankan kos sara hidup penerima.
"Program Bank Makanan WYF dan Yayasan DMDI ini disasar memberi manfaat kepada 24,000 penerima sepanjang tahun ini melibatkan keluarga B40, asnaf, ibu tunggal, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan mahasiswa kurang berkemampuan.
"Dianggar 2,000 penerima akan mendapat manfaat berupa makanan asas dan akan menerima bantuan itu setiap bulan sepanjang tempoh tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar WYF 2026 dan Pelancaran Bank Makanan WYF-Yayasan DMDI 2026 di Istana Melaka di sini malam tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri isteri Toh Puan Asmah Abdul Rahman.
Mohd Ridhwan berkata kit bantuan berkenaan yang dianggar bernilai RM50 hingga RM80 terdiri daripada makanan asas antaranya beras, minyak masak, gula, tepung, sardin, biskut, kicap, mi segera dan telur.
"Pusat operasi serta pengumpulan makanan terletak di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh. Kita juga bercadang untuk melaksanakan proses pengagihan bantuan bank makanan itu secara bergerak ke kampung atau kawasan perumahan menggunakan van," katanya.
Beliau berkata nama penerima dan kaedah pengagihan bantuan akan terus diperhalusi bagi memastikan golongan sasar mendapat manfaat yang sepatutnya.
Katanya program bank makanan berkenaan bukan sahaja untuk menyalurkan bantuan semata-semata tetapi menggalakkan penyertaan belia sebagai sukarelawan komuniti bagi membantu mengagihkan kit makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial