Ad Banner
 AM > BERITA

Bazar Ramadan Rahmah: Juadah Berkualiti Bawah RM5 Bantu Orang Ramai Kawal Perbelanjaan

01/03/2026 02:27 PM

Oleh Oleh Muhamad Adzhar Tajuddin

IPOH, 1 Mac (Bernama) -- Inisiatif Bazar Ramadan Rahmah (BRR) terus menjadi tumpuan apabila menawarkan pelbagai juadah berbuka puasa pada harga RM5 dan ke bawah, sekali gus membantu orang ramai mengawal perbelanjaan sepanjang Ramadan tanpa perlu mengorbankan kualiti makanan.

Tinjauan Bernama di BRR Taman Cempaka di sini mendapati menu popular seperti nasi ayam, bihun sup, mi sup dan laksa dijual pada harga tidak melebihi RM5 manakala air dan kuih-muih dijual pada harga antara RM2.50 hingga RM3 sebekas.

Ad Banner
Ad Banner

Pengunjung, Zaire Azri Zoher, 33, berkata meskipun sebahagian besar makanan di BRR ditawarkan pada harga berpatutan, kualitinya setanding dengan hidangan sama yang dijual di bazar lain.

“Banyak menu di sini berkualiti dan rasanya sama seperti yang dijual lebih mahal di bazar lain. Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga bagaimana mereka boleh kekalkan harga serendah ini,” kata pemuda berasal dari Melaka itu.

Selain itu, Zaire Azri berkata beliau membelanjakan antara RM50 hingga RM60 setiap kali berkunjung ke BRR bagi membeli pelbagai juadah berbuka untuk keluarganya.

“Dengan jumlah itu, boleh kata penuh kedua-dua tangan kita menjinjit pelbagai juadah. BRR ini wajar diteruskan kerana ia benar-benar memberi manfaat kepada peniaga dan pembeli,” katanya.

Seorang pekerja kafe Zarina Md Desa, 55, turut mengakui BRR membantunya berbelanja secara berhemat sepanjang Ramadan dan sering mengunjungi bazar berkenaan setiap tahun.

“Biasanya saya akan beli nasi ayam, kuetiau goreng dan bihun sup. Semuanya sedap dan harga berpatutan. Saya boleh berjimat dan pada masa sama menyimpan lebihan wang untuk kegunaan lain sepanjang bulan puasa,” katanya.

Bagi peniaga, Khamarul Anuar Ali, 41, akan memastikan setiap hidangan yang dijual mengekalkan rasa, kuantiti dan standard kebersihan yang sama seperti di bazar lain kerana harga Rahmah bukan alasan untuk mengabaikan mutu makanan.

“Tak guna kalau harga murah tapi rasa ‘hancur’. Tiada pelanggan pun yang ingin beli dan secara tak langsung akan merugikan kita semula,” katanya.

Beliau berkata walaupun berlaku peningkatan kos, namun baginya peluang berniaga di BRR dijadikan ruang untuk menambah pelanggan tetapnya.

Sepanjang Ramadan, Kamarul Anuar menawarkan menu seperti nasi ayam, bihun sup, mi sup dan kuetiau sup dengan anggaran jualan sekitar 350 hingga 400 pek sehari.

Seorang lagi penjual lauk-pauk, Suhaila Suni, 52, berkata penyertaan kali kedua di BRR Taman Cempaka memberi peluang kepadanya dan suami, Mohd Azhar Ishak, 50, meraih pendapatan tambahan bagi persediaan menyambut ketibaan Aidilfitri.

Suhaila menjual pelbagai lauk bawah RM5 seperti sambal ikan bilis, gulai sotong, kari ikan dan sayur-sayuran yang dihidangkan bersama nasi putih.

“Saya akui keuntungan tidak sebesar peniaga di bazar Ramadan lain tetapi saya gembira dan bersyukur kerana harga Rahmah ini dapat membantu ramai termasuk pelajar Politeknik Ungku Omar yang menjadi golongan terbesar yang mendiami kawasan ini,” katanya yang juga bekerja sebagai pembantu katering.

Pada 24 Feb lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak memaklumkan terdapat 11 lokasi BRR dengan penglibatan 465 peniaga di seluruh negeri yang menawarkan pilihan juadah Rahmah pada harga berpatutan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan