Ad Banner
 AM > BERITA

Pelajar Perlu Adaptasi Perubahan, Kuasai Ilmu Baharu - PM Anwar

28/02/2026 09:38 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Pelajar perlu mengadaptasi perubahan dan memperkukuh usaha menuntut ilmu termasuk menguasai ilmu baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sistem pendidikan pada masa ini amat mencabar yang menuntut mahasiswa meninggalkan pemikiran lapuk dan terikat dengan cara lama.

Beliau berkata pelajar turut berdepan dengan perubahan era pendidikan yang dipacu oleh transformasi digital dan tekanan teknologi yang berkembang pesat setiap hari.

Ad Banner
Ad Banner

“Umumnya zaman ini, zaman yang sangat mencabar. Persaingan yang terlalu kencang dan perubahan itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kalau mahu maju, kita harus terima keadaan… tidak boleh (berada) pada tahap yang lama, (termasuk) cara berfikir, cara bekerja,” kata beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Anwar bagaimanapun menegaskan usaha itu tidak hanya terletak di bahu pelajar semata-mata, sebaliknya memerlukan peranan golongan pendidik.

“Itu (perubahan) kalau hanya dihadam oleh pelajar tetapi tidak diterima oleh guru atau perancang pendidikan, ia tidak akan berhasil dan akan menutup semua usaha secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan keamanan negara bukan sekadar bermaksud mengekalkan keadaan sedia ada, sebaliknya menuntut sokongan padu dan rasa tanggungjawab bersama seluruh rakyat.

Beliau berkata walaupun tanggungjawab utama menjaga keselamatan negara terletak pada pasukan tentera, polis dan anggota keselamatan, usaha mengekalkan keamanan memerlukan komitmen kolektif masyarakat.

“Perbezaan itu bukan semestinya mengundang kebencian. Jika timbul perselisihan, ia seharusnya ditangani dengan semangat taaruf iaitu usaha untuk saling mengenali dan memahami, bukannya bermusuhan,” kata beliau.

Lebih 300 warga Kementerian Pendikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi termasuk pelajar Institut Pendidikan Guru memeriahkan majlis berbuka puasa itu yang disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan