Ad Banner
 AM > BERITA

HAWANA 2026 Di Pulau Pinang: Penghormatan Buat Gedung Awal Media Negara

28/02/2026 03:27 PM

GEORGE TOWN, 28 Feb (Bernama) -- Pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 merupakan pengiktirafan besar kepada negeri yang sarat dengan sejarah dan memainkan peranan penting dalam perkembangan dunia kewartawanan serta industri media di Malaysia.

Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang Mohd Iskandar Othman berkata pemilihan itu amat bertepatan memandangkan negeri berkenaan merupakan antara gedung kelahiran media terawal di negara ini sekali gus menjadi titik permulaan perkembangan industri penerbitan akhbar dan penyebaran maklumat di Tanah Melayu.

Beliau berkata kedudukan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan dan pertembungan pelbagai budaya suatu ketika dahulu telah mendorong kemunculan penerbitan akhbar awal sekali gus menjadikan Pulau Mutiara sebagai antara nadi penting pertumbuhan kewartawanan negara.

Ad Banner
Ad Banner

Mohd Iskandar berkata sejarah kewartawanan di Pulau Pinang bukan sekadar catatan masa lalu tetapi juga menjadi asas kepada pembentukan landskap media moden di Malaysia.

“Justeru, penganjuran HAWANA 2026 di negeri ini membawa nilai simbolik yang sangat besar kepada komuniti media dan pemilihan Pulau Pinang juga mencerminkan keyakinan serta keupayaannya sebagai tuan rumah… ia turut mengiktiraf sumbangan pengamal media di negeri ini yang sentiasa komited dalam menyampaikan maklumat tepat, beretika dan berintegriti kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Pulau Pinang juga memiliki ekosistem media yang aktif serta kepelbagaian latar budaya dan sejarah yang mampu memberikan nilai tambah kepada penganjuran HAWANA 2026 sekali gus menjadi platform terbaik untuk menghimpunkan pengamal media dari seluruh negara.

Mohd Iskandar juga berkata Kelab Media Mutiara Pulau Pinang komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan penganjuran program berprestij itu berjalan lancar dan mencapai objektif dalam mengangkat martabat profesion kewartawanan.

Beliau berkata Pulau Pinang menyaksikan akhbar pertama yang dicetak di Malaysia iaitu The Prince of Wales Island Gazette pada 1806 selain yang beroperasi di Pulau Pinang sejak 1894 termasuk Tanjung Penegeri (1894) diikuti Pemimpin Warta (1895), Chahaya Pulau Pinang (1898), Lingkungan Bulan (1900), Bintang Timur (1900), Idaran Zaman (1925), Suara Melayu (1926), Saudara (1928) dan Pemimpin Melayu (1933).

 Selain itu, Mohd Iskandar berkata Kwong Wah Yit Poh ialah syarikat akhbar harian yang diasaskan pada 1910 oleh revolusioner China Dr Sun Yat Sen semasa beliau berada dalam buangan di Pulau Pinang, dan diiktiraf sebagai akhbar Cina tertua yang masih bertahan di dunia.

Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan sambutan HAWANA 2026 bakal berlangsung di Pulau Pinang pada bulan Jun ini, dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Hawana, yang juga perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia, dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.

Sebelum ini, acara berprestij itu pernah diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Ipoh dan Kuching.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan