Ad Banner
 AM > BERITA

SWCorp Keluarkan 190 Notis Kesalahan Buang Sampah Kecil Di Negeri Sembilan

26/02/2026 10:48 AM

SEREMBAN, 26 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan mengeluarkan 190 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) membabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat dan jalan awam di negeri ini setakat 23 Feb lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri J Arul Kumar berkata semua notis itu melibatkan warga tempatan, sekali gus meletakkan Negeri Sembilan di kedudukan kedua tertinggi daripada tujuh negeri yang menerima pakai akta berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah notis dikeluarkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, dua kes telah selesai dibicarakan di mahkamah dengan pesalah dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ini menunjukkan penguatkuasaan yang kita lakukan adalah berterusan dan fokus kerajaan negeri bukan kepada jumlah kompaun dikeluarkan sebaliknya ingin memastikan tahap kebersihan awam dipertingkat dan kesalahan dapat diminimumkan.

"Masyarakat tidak boleh menggunakan alasan tidak tahu kerana makluman dan advokasi awal sudah diuar-uarkan malah media juga membuat hebahan meluas, jadi tanggungjawab kita adalah jaga kebersihan dan jangan buang sampah merata-rata,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis SWM Kasih Santun Ramadan dan Iftar di sini.

Arul Kumar berkata pembuangan sampah plastik dan puntung rokok di tempat awam masih menjadi kesalahan utama walaupun pelbagai kempen kesedaran dan papan tanda peringatan telah dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan menambah tong sampah di kawasan awam bagi memastikan orang ramai tidak membuang sampah sesuka hati selain menyeru pemilik premis swasta supaya menyediakan tong sampah di tempat masing-masing.

Dalam perkembangan berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai itu berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang menjual tapak perniagaan mereka termasuk di bazar Ramadan kepada warga asing.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga atau penganjur bazar tersebut termasuk menarik balik lesen dan menyenaraihitamkan peniaga yang terlibat dengan amalan ‘mengalibabakan’ tapak bazar.

"Tahun lepas kita ada mengesan beberapa warga asing di bazar Ramadan dan peniaga serta penganjur telah pun dikenakan tindakan, jadi saya harap tahun ini tidak berlaku lagi. Biarlah Ramadan kali ini berlangsung dengan harmoni," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan