Ad Banner
 AM > BERITA

Dewan Rakyat Bangkitkan Isu Projek MyDigital ID, Pendedahan Hasil Yuran UKM

24/02/2026 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Isu pelaksanaan MyDigital ID termasuk berkaitan tatakelola, pengauditan serta hala tuju projek identiti digital negara itu serta pendedahan berkaitan hasil yuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) antara isu dibangkitkan majoriti Ahli Parlimen pada sesi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai MyDigital ID, rata-rata Ahli Parlimen menuntut kementerian terlibat menjelaskan jumlah sebenar peruntukan diberikan dan diluluskan untuk pelaksanaannya berikutan LKAN mendedahkan sebanyak RM28.13 juta dana dibelanjakan tidak mengikut keputusan jawatankuasa pemandu.

Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata peruntukan tersebut melibatkan angka besar dan perlu dijelaskan kepada rakyat, selain mencadangkan Jabatan Audit Negara (JAN) turut mengaudit syarikat tujuan khas (SPV), MyDigital ID Sdn Bhd yang juga terlibat menguruskan pelaksanaan projek itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“LKAN membangkitkan isu perbelanjaan MIMOS bagi pembayaran gaji kerana berdasarkan Buku Anggaran Belanjawan Mengurus Kerajaan bagi tahun 2023, 2024, 2025 dan 2026, tidak terdapat peruntukan belanja mengurus kepada MyDigital ID Sdn Bhd untuk membayar gaji pekerja atau kos operasi.

“Laporan itu juga menyatakan bahawa peruntukan pembangunan projek tidak boleh digunakan bagi pembayaran gaji dan kos pengurusan...kita memerlukan penjelasan,” katanya pada sesi itu.

Senada dengan beliau, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berpandangan isu perbelanjaan MIMOS Bhd yang melibatkan pembayaran gaji pekerja MyDigital ID Sdn Bhd menimbulkan keraguan dari sudut pematuhan dan tatakelola kewangan.

Sementara itu, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) menyifatkan dana bernilai lebih RM28 juta dibelanjakan tanpa kelulusan jawatankuasa, bukan isu teknikal kecil, sebaliknya soal pematuhan prosedur, disiplin kewangan dan integriti sistem kawalan dalaman.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya semua projek strategik nasional yang menggunakan model syarikat tujuan khas tertakluk kepada audit penuh termasuk audit forensik serta pendedahan berkala kepada Parlimen mengenai kemajuan fizikal dan kewangan projek.

Dalam isu berasingan, kerajaan dicadang menggubal peraturan atau undang-undang bagi mewajibkan syarikat milik kerajaan membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan sekiranya mencatat keuntungan, susulan pendedahan LKAN1/2026 bahawa 13 syarikat tidak berbuat demikian walaupun merekodkan keuntungan.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata ketika ini tiada peruntukan undang-undang mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan mengagihkan dividen kepada kerajaan menyebabkan bayaran dividen dibuat tanpa mekanisme seragam dan mengikat, walaupun syarikat berkenaan berada di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

"Pada 2022 hanya 15 daripada lebih 100 syarikat milik kerajaan membayar dividen secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan, dengan sumbangan terbesar datang daripada Petronas berjumlah RM50 bilion pada tahun itu dan RM40 bilion pada 2023,” katanya.

Turut menjadi perhatian beberapa Ahli Parlimen ialah isu ketidakpatuhan serius dalam pengurusan kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan melibatkan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional UKM (UKMShape).

Berikutan itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) mencadangkan semakan menyeluruh dilaksanakan terhadap semua perjanjian kutipan yuran melibatkan pihak ketiga di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Wang yuran pelajar adalah amanah. Ia bukan milik mana-mana individu atau entiti lain, tetapi milik institusi untuk dimanfaatkan kepada kebajikan dan pembangunan akademik pelajar,” katanya ketika membahaskan laporan berkenaan.

Isu sama dibangkitkan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang menyifatkan pendedahan melibatkan IPTA itu sebagai memalukan selain menuntut satu tindakan drastik dilaksanakan supaya isu tidak berulang dan berlaku kepada IPT lain.

LKAN 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendedahkan 273 isu baharu melibatkan pengurusan kewangan serta tadbir urus di peringkat persekutuan dan negeri dibangkitkan dalam Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2024 merangkumi aktiviti kementerian, jabatan serta badan berkanun persekutuan selain aktiviti kementerian, jabatan dan agensi negeri termasuk pengurusan syarikat kerajaan negeri.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan