JERTIH, 24 Feb (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI di pekarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat di sini hari ini menjadi tumpuan apabila orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan daging tempatan yang dijual hanya RM19 sekilogram (kg).
Harga yang disifatkan tersangat murah berbanding harga pasaran antara RM28 hingga RM30 itu menyebabkan sebanyak 400 kg daging terjual tidak sampai satu jam program jualan yang dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu berlangsung.
Pengusaha ternakan Mohd Izzat Zaidi, 28, berkata orang ramai mula beratur di gerainya seawal 8 pagi meskipun jualan hanya bermula pada 8.30 pagi bagi mendapatkan daging tempatan pada harga murah sebagai bekalan sepanjang Ramadan.
“Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan daging segar tempatan dengan harga rendah untuk dijadikan menu berbuka puasa.
“Itupun banyak yang pulang dengan perasaan hampa kerana tidak sempat membeli daging. Saya pun tidak sangka kesemua 400 kg daging yang saya bawa hari ini habis ‘licin’ dalam masa yang amat singkat,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi jualan itu.
Dalam pada itu, warga emas Zawiah Abd Rahman, 70, berkata dia dapat berjimat sehingga RM50 setiap kali membeli barangan dapur dan keperluan pada program anjuran kementerian atau agensi kerajaan seperti Program Jualan Agro Madani itu.
Zawiah berkata bukan sahaja daging malah barangan lain juga turut dijual pada harga lebih murah menyebabkan dia sentiasa mengunjungi program jualan seumpama itu di sekitar Jertih.
“Seperti hari ini, saya beli daging segar dua kilogram. Biasanya saya hanya beli satu kilogram kerana harganya yang agak mahal. Selain itu, saya dapat membeli telur hanya pada harga RM10 sepapan.
“Jadi sangatlah jimat kalau beli pada program jualan ini. Yang penting kita kena sentiasa peka mengikuti maklumat semasa sekiranya ada program jualan di tempat kita,” katanya, yang masih aktif mengusahakan sawah padi dan menoreh getah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial