Ad Banner
 AM > BERITA

Teknologi DTM, Meter Pintar Tingkat Pengesanan Kecurian Elektrik Sejak 2021 - Fadillah

24/02/2026 12:25 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Pemasangan sistem Distribution Transformer Meter (DTM) dan meter pintar dilihat berjaya mengesan lebih banyak kes kecurian elektrik sejak 2021 berbanding tahun-tahun sebelum itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata susulan pemasangan DTM dan meter pintar berkenaan, kes kecurian elektrik yang direkodkan meningkat selari dengan keupayaan sistem berkenaan mengenal pasti kesalahan seumpama itu.

“Mengikut data 2021 hingga 2025, kes makin meningkat sebab kita dah ada teknologi untuk mengesan. Dulu tak ada teknologi untuk mengesan, sebab itu bila pengesanan (diwujudkan) kita dapat mengekang berlakunya kecurian dan akhirnya mengelak daripada berlakunya kerugian.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“… dari segi subsidi dan tarif, sekarang ini agak munasabah kepada rakyat sebab kita dah agihkan dari segi kadar penggunaan. Sesiapa yang menggunakan lebih tinggi (elektrik) maka dia kena bayar lebih,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang bertanyakan jangkaan penurunan kerugian selepas sistem DTM dan meter pintar dipasang.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata sehingga 2025, sebanyak 5.56 juta meter pintar telah dipasang di seluruh Semenanjung dan pemasangan itu membantu mengawal kes kecurian bekalan elektrik.

Fadillah berkata dalam tempoh 2021 sehingga 2025, sebanyak 5,133 kes melibatkan pengguna meter pintar berjaya dikesan, yang melibatkan kerugian RM41 juta.

Beliau berkata selain pemasangan DTM dan meter pintar, teknologi dron dan thermal handheld device turut digunakan bagi mengesan haba berlebihan di premis disyaki, sekali gus membantu mengenal pasti aktiviti perlombongan kripto secara haram dengan lebih efektif.

“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama-sama TNB (Tenaga Nasional Berhad) sentiasa komited dalam membanteras aktiviti kecurian elektrik, terutamanya dalam perlombongan bitcoin atau mata wang kripto.

“Aktiviti ini bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna tetapi juga akan menjejaskan kestabilan ekonomi negara, meningkatkan risiko keselamatan awam serta kerosakan harta benda dan mencetuskan ancaman serius kepada sistem bekalan tenaga negara,” katanya menjawab soalan asal Lee mengenai jumlah kes kecurian elektrik yang berjaya dikesan melalui sistem DTM dan meter pintar setakat ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai keberkesanan kerjasama antara kementerian dan pihak berkuasa dalam melaksanakan serbuan berasaskan data sistem DTM, Fadillah berkata sebanyak 379 kes kecurian elektrik dikesan pada 2021, 647 kes (2022), 909 kes (2023), 1,298 kes (2024) dan 1,900 kes pada 2025.

Beliau berkata peningkatan jumlah kes itu menunjukkan keberkesanan teknologi dalam membantu pengesanan dan membolehkan tindakan lebih agresif dilaksanakan dengan kerjasama ST, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan TNB.

Menurut Fadillah, antara isu yang dikenal pasti ialah pemilik premis tidak menukar nama pemegang akaun meter kepada penyewa sehingga menyebabkan mereka menjadi mangsa apabila berlaku tunggakan bil mencecah ratusan ribu ringgit akibat kegiatan perlombongan kripto haram.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan