Ad Banner
 AM > BERITA

Tiada Dokumen Diterima Mengenai Status Ketua Pembangkang Di Dewan Rakyat - Ramli

23/02/2026 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor berkata pihaknya belum menerima sebarang dokumen atau arahan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang setakat ini.

Ramli berkata demikian ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat hari ini sebagai maklum balas kepada RSN Rayer (PH-Jelutong) yang membangkitkan perkara itu selepas sesi soal jawab.

“Setakat ini, walaupun saya di sini dan soalan ini telah ditimbulkan oleh Yang Berhormat pada ketika saya mempengerusikan sidang, ia melibatkan struktur asas Dewan Rakyat ini, iaitu isu Ketua Pembangkang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Jadi setakat ini, saya dan saya percaya Timbalan Speaker yang seorang lagi pun belum menerima apa-apa arahan dan belum ada lagi hitam putih yang diusulkan daripada pihak pembangkang untuk menyatakan kekosongan itu,” katanya.

Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat 4A(4) yang menyebut jika berbangkit apa-apa keraguan atau pertikaian tentang siapa yang menjadi Ketua Pembangkang, masalah itu hendaklah diputuskan oleh Yang Dipertua dan keputusan yang diperakui secara bertulis beserta tandatangan adalah muktamad dan konklusif.

Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga Ketua Pembangkang sebelum ini serta 16 pemimpin lain dipecat keahliannya oleh Lembaga Disiplin Bersatu baru-baru ini.

Pemecatan mereka dimaklumkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Datuk Mohd Radzi Manan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin menerusi satu notis bertajuk ‘Makluman Keputusan Lembaga Disiplin Terhadap Laporan Pelanggaran Perlembagaan’.

Semalam, Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata isu kedudukan Ketua Pembangkang baharu di Parlimen bagi menggantikan Hamzah masih dalam perbincangan.

Sementara itu, Ramli turut menegur Ahli Parlimen berkenaan perkara yang menimbulkan perasaan sakit hati sesama mereka di Dewan Rakyat, terutamanya ketika bulan Ramadan.

“Bila membangkitkan satu isu itu, terus ke perkara yang berkenaan, kita tidak mahu buang masa dalam dewan ini. Ingat Yang Berhormat, masa dalam Dewan ini adalah masa untuk rakyat. Kita berbincang dan berbahas kepentingan rakyat. Sebagai pengerusi, saya akan memastikan perkara itu berlaku,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan