Ad Banner
 AM > BERITA

OKU Cekal Teruskan Hidup, Usahakan Perniagaan Air Nira Kelapa

23/02/2026 10:32 AM

Oleh Balqis Jamaludin

KUALA TERENGGANU, 23 Feb (Bernama) -- Kekurangan fizikal tidak menghalang seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Banggol Katong di sini mengusahakan perniagaan air nira kelapa yang sentiasa mendapat permintaan tinggi, terutama pada bulan Ramadan.

Ibrahim Mamat, 44, yang lumpuh kaki kanan akibat kemalangan motosikal tujuh tahun lepas memanjat sendiri tangga yang dibuat khas bersesuaian dengan keadaan fizikalnya bagi mendapatkan air nira daripada mayang pohon kelapa setinggi enam meter.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ibrahim mengakui sebelum memulakan perniagaan air nira itu dua tahun lepas, beliau pernah berputus asa dan enggan melakukan sebarang pekerjaan selama lima tahun kerana sukar menerima keadaan dirinya selepas kemalangan.

“… tetapi sekitar dua tahun lepas ketika saya duduk termenung di atas kerusi roda di depan rumah, saya terlihat sebatang pokok kelapa dan saya terfikir mungkin saya boleh buat sesuatu dengan pokok itu. Tiba-tiba datang semangat untuk bangkit semula dan memulakan kehidupan baharu.

“Saya pun terus terfikir untuk jual air nira yang menjadi minuman kegemaran masyarakat, terutama di Pantai Timur. Jadi, saya terus meminta sepupu saya (Ahmad Rusdi Wahab, 38) untuk membina tangga yang bentuknya direka sendiri oleh saya supaya ia lebih stabil. Setiap pokok kelapa dipasang tangga itu supaya saya boleh naik dan turun sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Ibrahim yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah berkata beliau kini berjaya mendapatkan kira-kira 40 liter air nira sehari hasil 20 pohon kelapa yang ditanam di tanah seluas 0.4 hektar berdekatan dengan rumahnya.

Beliau berkata rutin hariannya bermula seawal 7 pagi dengan melakukan kerja-kerja menyadap atau memotong mayang kelapa yang masih muda bagi mengeluarkan air nira.

“Biasanya mayang yang dipotong akan mengeluarkan air nira selepas empat atau lima hari dan ia boleh mengeluarkan air nira sehingga 15 hari sebelum mayang kelapa itu kering. Saya akan tadah air nira menggunakan plastik pada waktu pagi dan petang kerana kebiasaan pada waktu itu air nira keluar banyak,” katanya.

Ibrahim berkata pada hari biasa, pelanggan akan datang sendiri ke rumahnya untuk mendapatkan air nira namun pada bulan puasa beliau akan membuka gerai kecil di tepi jalan di dalam kampung itu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan minuman berkenaan untuk berbuka puasa.

Beliau yang menjual air nira pada harga RM5 dan RM10 sebotol turut membekalkan air itu kepada pengusaha gula nisan, terutama di Marang.

Berkat kerajinan dan kesungguhan itu, Ibrahim yang belum berkahwin berjaya meraih pendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan jumlah itu meningkat dua kali ganda pada bulan puasa selepas air nira yang dihasilkan terjual lebih 30 botol sehari. 

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah menggerakkan hati saya untuk ‘bangkit semula’ dan saya masih mampu bekerja bagi menyara kehidupan sendiri. 

“Malah saya juga mampu menyara ibu saya Juary Ibrahim (77 tahun) yang juga OKU kerana kaki kanannya telah dipotong dari paras lutut akibat kencing manis tiga tahun lepas,” katanya, yang turut memelihara antara empat hingga lima ekor lembu sebagai pendapatan sampingan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan