Ad Banner
 AM > BERITA

Cadangan Perluas Biasiswa Kepada Pengajian Bahasa Kadazandusun Dibawa Ke Kabinet Negeri

21/02/2026 11:06 PM

PENAMPANG, 21 Feb (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri III Sabah Datuk Ewon Benedick berkata beliau akan membawa cadangan memperluas Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah kepada mahasiswa yang mengikuti pengajian bahasa Kadazandusun di dalam Mesyuarat Kabinet Negeri akan datang. 

Beliau berkata ini sebagai langkah strategik untuk menggalakkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian dalam bahasa Kadazandusun sekali gus memastikan jumlah guru yang mampu mengajar bahasa tersebut sentiasa mencukupi.

Ewon berkata usaha itu penting memandangkan bahasa Kadazandusun sudah menjadi sebahagian daripada kurikulum pendidikan yang diajar di sekolah rendah dan menengah di Sabah, malah menjadi antara subjek Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Saya akan bawa cadangan ini kepada Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) dan Jemaah Menteri Sabah supaya Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah diperluas kepada pelajar yang melanjutkan pengajian bahasa Kadazandusun di Institut Pendidikan Guru atau di universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Sabah yang menawarkan bidang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan sambutan Hari Bahasa Ibunda Sedunia anjuran Yayasan Bahasa Kadazandusun (KLF) di sini hari ini.

Turut berlangsung pada majlis itu, pelancaran webonary Kadazan-Inggeris-Melayu, projek sosiobudaya yang memperluas akses kepada kosa kata Kadazan melalui platform digital dan penyampaian Anugerah Kesusasteraan Tan Sri Bernard Dompok kepada pemenang pertandingan novel bahasa Kadazandusun anjuran KLF.

Sementara itu, Ewon turut mengalu-alukan inisiatif memperluas pengajaran bahasa Kadazandusun di sekolah dengan memasukkan modul baharu iaitu bahasa etnik Kadazan Tangaa, Murut Timogun, Dusun Lotud dan Tatana yang diadakan secara sukarela dalam bentuk projek rintis ketika ini.

“Saya akan terus mengambil bahagian dalam perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan termasuk telah menyampaikan perkara ini di Parlimen baru-baru ini dan saya amat yakin ini akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah turut meluluskan peruntukan RM150,000 kepada KLF dan Persatuan Bahasa Etnik Sabah bagi menyokong program memperkasakan bahasa ibunda etnik negeri ini.

Katanya peruntukan itu juga bertujuan membantu usaha persatuan terbabit membangunkan lebih banyak bahan pendidikan bagi keempat-empat bahasa etnik dicadangkan dilaksanakan di sekolah rendah di Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan