SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menziarahi dua pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terlibat dalam insiden pokok tumbang, di Persiaran Tun Arshad Ayub di Seksyen 7, di sini.
Ketibaan Tengku Permaisuri Norashikin yang juga Pro-Canselor UiTM pada 2.38 petang di Hospital Shah Alam disambut Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin, serta Pengarah Hospital Shah Alam Dr Ruzita Othman.
Dalam pertemuan itu, baginda bertanya khabar kepada kedua-dua mangsa yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, selain turut berkenan menyampaikan buah tangan, dan mendoakan kesihatan mereka.
Sementara itu, Shahrin berkata kedua-dua pensyarah wanita berusia 39 dan 42 tahun itu dilaporkan stabil, serta dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi.
Beliau berkata Tengku Permaisuri Norashikin turut berpesan supaya mereka berehat secukupnya dan semoga dapat bertugas semula dengan baik.
”Ini disebabkan mereka risau. Semester baharu habis dan sistem permarkahan hendak dilakukan.
“Namun, kami menasihatkan supaya mereka fokus kepada pemulihan diri. Saya menjunjung kasih kepada Tengku Permaisuri yang menzahirkan doa supaya mereka dapat sembuh dan bertugas semula," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menziarahi dua pensyarah itu, di sini hari ini.
Sebelum ini, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata dalam kejadian pada Isnin lepas itu mangsa berusia 39 tahun cedera pada bahagian muka dan kepala, manakala seorang lagi cedera pada bahagian pinggang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial