Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MAIS Agih Fidyah RM16.7 Juta Kepada Lebih 48,000 Individu Tahun Ini

15/02/2026 04:03 PM

SHAH ALAM, 15 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM16,716,800 agihan fidyah kepada 48,674 penerima yang layak di negeri itu tahun ini.

Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata agihan membabitkan fakir dan miskin sementara yang memenuhi syarat termasuk isi rumah berpendapatan kurang RM1,500, individu berdaftar di bawah Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), mereka yang diberhentikan kerja atau berdepan pengurangan gaji sehingga 50 peratus serta mangsa musibah dan bencana.

"Bagi melancarkan agihan, MAIS menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), pertubuhan Islam bukan kerajaan (PIBK), institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), agensi kerajaan, sekolah, masjid dan surau di daerah terlibat bagi memperkukuh penyampaian bantuan.

Ad Banner
Ad Banner

"Sebanyak RM7.57 juta diperuntukkan kepada JAIS meliputi RM5.39 juta untuk Sekolah Rendah Agama (SRA), Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) manakala RM2.18 juta kepada masjid dan surau di seluruh negeri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata MAIS juga akan mengagihkan RM3 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) diikuti RM2.5 juta kepada IPTA dan IPTS bagi menyantuni kumpulan sasar yang memerlukan sokongan kebajikan.

Salehuddin berkata kesemua agihan dilaksanakan menerusi empat bentuk bantuan iaitu Agihan Fidyah MAIS (AFM) Kotak Makanan, Ejen Dapur Fidyah, Tunai dan Wang Saku Pelajar dengan pakej makanan asasi.

"Setiap kotak bernilai RM227.85 mengandungi beras, gula, kicap, sos cili dan tepung gandum manakala bantuan tunai akan dikreditkan terus ke akaun penerima diikuti wang saku pelajar diagihkan melalui institusi pendidikan.

"Agihan fidyah ini telah dirangka secara bersasar melibatkan rangkaian agensi pelaksana di peringkat negeri dan daerah bagi memastikan bantuan disampaikan secara pantas, menyeluruh serta menepati kriteria kelayakan penerima yang ditetapkan oleh MAIS," katanya.

Beliau berkata pendekatan agihan melalui rakan strategik membolehkan bantuan disampaikan secara lebih sistematik, telus dan menepati kriteria ditetapkan, di samping memperluas capaian kepada komuniti di peringkat akar umbi.

Selahuddin menyeru orang ramai yang ingin memohon bantuan fidyah supaya berhubung terus dengan Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM).

Beliau memaklumkan MAIS telah menyalurkan agihan fidyah berjumlah RM18.16 juta kepada 54,545 penerima di seluruh Selangor sepanjang tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan