Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Warga KUSKOP Perlu Berfikiran Progresif, Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Negara

14/02/2026 01:51 PM

PUTRAJAYA, 14 Feb (Bernama) -- Seluruh warga Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) diseru untuk melangkah ke tahun baharu dengan semangat lebih kental, berfikiran progresif, dan terus komited dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan negara demi kemakmuran bersama.

Bersempena dengan Tahun Baharu Cina, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata kehadiran Tahun Kuda melambangkan tenaga, keberanian dan daya tahan yang tinggi.

"Oleh itu, semangat tersebut perlu diterapkan dalam usaha memperkukuh dan memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana di negara ini," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Sim baru-baru ini telah mengedarkan limau mandarin kepada warga kerja kementerian sebagai tanda penghargaan dan kebersamaan.

Beliau berkata pemberian itu bukan sekadar tradisi perayaan, malah membawa simbol doa, kemakmuran dan harapan yang baik untuk tahun baharu.

"Dalam budaya masyarakat Cina, limau dikaitkan dengan tuah dan rezeki kerana sebutannya hampir sama dengan perkataan yang membawa maksud keberuntungan dan emas.

"Simbolik tersebut mencerminkan aspirasi agar seluruh warga kementerian dikurniakan kesejahteraan, kesihatan, dan kejayaan dalam melaksanakan amanah kepada rakyat," katanya.

Sementara itu di PULAU PINANG, kementerian menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Pulau Pinang bagi menyokong operasi serta kesiapsiagaan kecemasan badan sukarelawan itu.

“Sumbangan berkenaan sebahagian komitmen memperkukuh peranan PBSM sebagai rakan strategik dalam usaha kemanusiaan, khususnya menyediakan bantuan kecemasan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran Perkhidmatan Ambulans 24 Jam PBSM, di sini hari ini.

Beliau berkata semangat kebersamaan itu penting dalam memastikan Malaysia mampu tampil sebagai sebuah negara yang bersatu dan berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

“Dalam landskap global yang menyaksikan persaingan ekonomi semakin sengit, keupayaan negara untuk bersaing bergantung kepada tahap perpaduan serta kerjasama seluruh rakyat,” katanya.

Sim berkata sekiranya negara berjaya bergerak sebagai satu pasukan, rakyat akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, dan peluang yang lebih luas pada peringkat global. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan