SHAH ALAM, 14 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menekankan pematuhan terhadap pemasangan dan fungsi Peranti Had Kelajuan (SLD) semasa Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2026 yang bermula semalam hingga 22 Feb.
Pengarah JPJ Selangor Azrin Borhan berkata pendekatan itu yang sejajar dengan pelaksanaan di peringkat pusat diambil bagi memastikan kenderaan perdagangan mematuhi had kelajuan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan, selaras usaha memperkukuh pematuhan keselamatan kenderaan komersial ketika peningkatan pergerakan trafik sempena musim perayaan.
"Selain itu, JPJ juga menggesa pengusaha dan pemandu bas agar memastikan penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan kerana ia bukan sahaja mematuhi undang-undang tetapi mengurangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.
"Kesalahan Kaedah 4 dan 4A Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 (pindaan 2008) kerana tidak memakai tali pinggang keledar boleh dikenakan kompaun dengan kadar RM300," katanya pada sidang media Operasi Tahun Baharu Cina 2026 JPJ Selangor, di sini, malam tadi.
Beliau berkata bagi memastikan keselamatan perjalanan jarak jauh pengusaha bas awam wajib menyediakan pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer untuk mengelakkan keletihan dan memastikan perjalanan lebih terkawal.
Dalam perkembangan sama, Azrin berkata larangan pemanduan kenderaan barangan sempena Tahun Baharu Cina 2026 berkuat kuasa bermula tengah malam tadi sehingga esok dan diteruskan pada 21 dan 22 Feb bagi melancarkan aliran trafik sepanjang musim perayaan.
"JPJ menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan, merancang perjalanan awal, memastikan kenderaan selamat dan berehat secukupnya sebelum memandu kerana keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Terdahulu, Azrin turun padang menyertai lebih 20 pegawai dan anggota JPJ Selangor dalam pemeriksaan serta mengedarkan risalah keselamatan jalan raya kepada pemandu serta penumpang bas ekspres.
Sementara itu beliau berkata penguatkuasaan terhadap bas ekspres dan bas persiaran di Selangor sepanjang 2025 merekodkan kesalahan teknikal sebagai kategori tertinggi dalam aspek keselamatan mekanikal sekali gus menuntut pengusaha pengangkutan awam untuk terus menambah baik pematuhan.
Azrin berkata sepanjang tahun lepas pihaknya telah memeriksa 13,484 kenderaan yang terdiri daripada bas ekspres (11,575) dan bas persiaran (1,909) dan daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan, 277 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan 177 bas ekspres dan 100 bas persiaran.
"Secara agregat, 367 kesalahan direkodkan merangkumi kesalahan tertinggi iaitu teknikal (107), tiada Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) (80) dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) (57).
“Bagi kes penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar, sebanyak 30 kompaun dengan kadar RM300 telah dikeluarkan daripada 1,700 penumpang yang diperiksa melalui operasi penyamaran sebagai penumpang bas yang dijalankan secara berkala termasuk pada waktu malam sepanjang musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata sepanjang tempoh penguatkuasaan 2025, sebanyak 712 notis dikeluarkan merangkumi Notis Saman P(22) sebanyak 458 kes diikuti 112 Notis Arah Periksa Seksyen 61(1) bagi memastikan pembetulan awal ketidakpatuhan.
Dalam masa sama, Azrin turut memaklumkan JPJ Selangor mengeluarkan 140 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) dan dua Notis Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebagai langkah tegas tambahan bagi menjamin pematuhan terhadap peruntukan perundangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial