Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Agong Kurnia RM2,000 Kepada 41 Keluarga Terjejas Kebakaran Kampung Teluk Jawa

13/02/2026 09:18 PM

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan keprihatinan dan berkenan mengurniakan sumbangan peribadi wang tunai RM2,000 kepada setiap 41 keluarga yang terjejas akibat kebakaran rumah di Kampung Orang Asli Teluk Jawa di sini, semalam. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran berserta gambar di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar malam ini.

Selain itu, sumbangan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu turut menyampaikan kit bencana barangan keperluan asas merangkumi cerek dan periuk nasi elektrik, tilam lipat, kemeja-T, telekung serta air mineral.

Ad Banner
Ad Banner

Sumbangan disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria. Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru Datuk Mohd Haffiz Ahmad. 

"Kurniaan ini antara lain dapat meringankan beban kewangan mangsa yang kebanyakannya ialah nelayan dan bekerja sendiri," menurut hantaran itu. 

Sementara itu, Pegawai Daerah Johor Bahru Mohd Masni Wakiman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda atas kurniaan dan keprihatinan terhadap mangsa terlibat. 

“Kami dan beberapa agensi kerajaan lain akan memastikan kesejahteraan semua mangsa sentiasa terpelihara dan mereka mendapat tempat tinggal sewajarnya dengan kadar segera,” katanya.

Seorang mangsa, Uji Jumaat, 49, bersyukur atas sumbangan daripada Seri Paduka Baginda buat keluarganya yang kini tinggal sehelai sepinggang.

“Tiada apa-apa yang dapat diselamatkan, dengan sumbangan yang dihulurkan, sekurang-kurangnya kami boleh meneruskan kehidupan. Menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong kerana membantu kami," katanya. 

Semalam, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Firdaus Ahmad dilaporkan berkata sebanyak 30 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Teluk Jawa, melibatkan struktur sementara berdinding kayu, beratap zink dan berlantaikan papan dengan keluasan dianggarkan 200x200 kaki persegi. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan