SEREMBAN, 13 Feb (Bernama) -- SWM Environment Sdn Bhd menggerakkan kira-kira 1,200 tenaga kerja bagi memastikan operasi perkhidmatan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal berjalan lancar sepanjang dua hari sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh kawasan perkhidmatannya.
Pengurus Besar Korporatnya Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata jumlah itu membabitkan 1,060 pekerja dan 139 sub-kontraktor yang bertugas pada 17 Feb manakala 1,074 pekerja dan 139 sub-kontraktor akan digerakkan pada keesokannya.
“Bagi memastikan operasi berjalan lancar, sebanyak 179 kenderaan kutipan sisa pepejal melibatkan lori kompaktor dan lori open tipper akan digunakan pada kedua-dua hari perayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata SWM Environment mengenal pasti 103 lokasi tumpuan utama melibatkan 62 tong sampah berpusat, 34 kawasan rumah pangsa dan apartmen serta tujuh lokasi tumpuan pelancong yang memerlukan pemantauan khusus dan kutipan lebih kerap sepanjang musim perayaan.
Mohd Norlisam berkata di Port Dickson, pihaknya menyediakan 222 tong sampah di 13 lokasi pantai utama termasuk Pantai Telok Kemang, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Bagan Pinang, Pantai Saujana, Pantai Cermin dan Pantai Tanjung Biru berikutan jangkaan peningkatan kehadiran pelancong dan pengunjung.
Beliau turut memohon kerjasama orang ramai supaya membungkus sisa dijana ke dalam beg sampah bersesuaian, diikat kemas dan dimasukkan ke dalam tong sampah beroda bagi menjaga kebersihan di sekitar tong sampah selain melancarkan kerja kutipan.
Selain itu, beliau mengingatkan penduduk supaya meletakkan kenderaan secara teratur dan tidak menghalang laluan lori kutipan sisa pepejal terutama pada hari jadual kutipan dan tidak membakar mercun atau sisa mercun di dalam tong sampah beroda bagi mengelakkan risiko kebakaran.
-- BERNAMA=
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial