Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Selangor Kesan 257 Kes Gagal Pamer Tanda Harga

13/02/2026 09:37 PM

KLANG, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengesan sebanyak 257 kes membabitkan peniaga yang gagal mematuhi tanda harga khas merah jambu sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) tahun lepas. 

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail berkata kes itu merupakan kesalahan terbanyak direkodkan daripada 265 kes yang diambil tindakan berdasarkan statistik KPDN dengan bakinya melibatkan kesalahan penjualan melebihi harga maksimum dan tiada tanda harga. 

"SHMMP meliputi Tahun Baharu Cina, Aidilfiri, Deepavali dan Krismas itu melibatkan pemeriksaan terhadap 2,230 premis dengan sitaan berjumlah RM4,370 serta kompaun RM30,900. 

Ad Banner
Ad Banner

"Segelintir peniaga mengambil kesempatan tidak meletakkan tanda harga khas dan kegagalan itu boleh menyebabkan penipuan," katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina di sini hari ini.

Rizam berkata kesalahan tiada tanda harga khas memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau kompaun hingga RM5,000 bagi peniaga, manakala syarikat maksimum RM20,000. 

Mengulas berhubung SHMMP Tahun Baharu Cina di Selangor, beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati premis perniagaan memberikan kerjasama dan berada pada tahap pematuhan yang baik. 

"Kebanyakan barangan juga dijual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Rizam berkata kerajaan Selangor akan memantau harga daging babi di pasaran susulan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk hanya mengimport daging berkenaan bagi keperluan masyarakat bukan Islam tempatan. 

Beliau berkata pemantauan akan dijalankan dengan kerjasama KPDN yang juga merupakan antara barang kawalan bagi sambutan Tahun Baharu Cina setiap tahun. 

"Yang paling penting ialah harga daging itu di Selangor ketika ini masih terkawal dan harganya turut dipantau … berdasarkan harga kawalan, harga ladang daging babi ialah RM18 satu kilogram (kg), manakala RM30 dan RM41 untuk jualan runcit," katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan