KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Bengkel Kreatif Vokal dan Lakonan Asas Orang Kurang Upaya (OKU) akan diperluas ke negeri-negeri lain bagi memberi peluang serta mencungkil bakat baharu dalam kalangan golongan itu, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata bengkel anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan kerjasama Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia itu yang julung kali diadakan memberikan fokus kepada latihan dalam bidang vokal, dan rakaman drama radio.
“Sebenarnya ini satu langkah kritis, dan saya percaya ia bukan yang terakhir. Finas akan mengenal pasti lokasi yang sesuai meliputi zon utara, zon selatan, zon timur serta Sabah dan Sarawak untuk penganjuran program yang sama,” katanya pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil bengkel berkenaan, di sini hari ini.
Teo berkata penganjuran bengkel itu membuktikan industri kreatif negara kini bergerak ke arah lebih inklusif, progresif dan terbuka, sejajar dengan usaha memperkasa penyertaan golongan OKU dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membangunkan bakat kreatif negara berasaskan data, perancangan rapi serta peruntukan yang jelas sebagai pelaburan strategik dalam modal insan.
Pada 2025, Finas telah menganjurkan 18 kursus dan bengkel dengan peruntukan RM1 juta melibatkan 3,353 peserta, manakala 18 bengkel komuniti filem dan belia kreatif dilaksanakan dengan kos RM900,000 yang disertai 540 peserta.
Bagi 2026, sebanyak 13 bengkel utama disasarkan dengan peruntukan RM1 juta melibatkan sekurang-kurangnya 1,900 peserta, selain 80 bengkel komuniti filem dan belia kreatif di seluruh negara yang menyasarkan 2,700 peserta.
“Saya melihat komuniti ini bukan kekurangan bakat tetapi kekurangan ruang dan peluang. Hakikatnya setiap insan ada bakat, cuma kadang-kadang yang kurang ialah peluang.
"Oleh sebab itu, kita membuka peluang ini kerana inclusivity (keterangkuman) sebenar bermula dengan penyediaan akses pembelajaran menyeluruh termasuk kemudahan fizikal yang mesra OKU, selain sokongan berterusan melalui Finas dan program MyCreative Ventures,” katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudian, Teo berkata pihaknya akan berbincang dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi meneliti kemungkinan memanfaatkan bakat yang telah dilatih untuk penerbitan drama radio di stesen berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial