Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

CMAA Bimbing Generasi Baharu Tarian Singa Pelihara Warisan Budaya  

13/02/2026 02:19 PM

Oleh Ammar Shafiq Hamzah

KUCHING, 13 Feb (Bernama) -- Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina (CMAA), yang menyambut ulang tahun ke-52 tahun ini mempergiat usaha bagi memastikan kesinambungan tradisi tarian singa dalam kalangan generasi muda.

Ditubuhkan pada 1974, persatuan yang berpangkalan di Kuching itu bukan sekadar mempromosikan seni mempertahankan diri tradisional Cina, malah turut menubuhkan pasukan tarian naga, dan singa, selaras dengan amalan lazim persatuan seni bela diri pada era berkenaan.

Ad Banner
Ad Banner

Kini, usaha memelihara warisan budaya berkenaan menjadi antara misi utama persatuan itu. 

Presiden CMAA Chester Lim Hian Thoong berkata sejak 2015, persatuan itu menerusi Persatuan Tarian Naga, Tarian Singa dan Wushu Sarawak (PTNSWS) menerajui program latihan tarian singa dan naga, sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum sekolah menengah di seluruh negeri.

Beliau berkata persatuan itu juga menganjurkan Kejohanan Terbuka Antarabangsa Piala Tarian Naga dan Singa Sarawak setiap tahun, yang mendapat sokongan Kerajaan Negeri Sarawak bagi terus mempromosikan dan memperkasakan tradisi itu.

“Menerusi program ini, pelajar didedahkan kepada pelbagai elemen asas termasuk bermain gendang, simbal dan gong, selain menguasai koordinasi pergerakan yang diperlukan untuk mengendalikan kepala dan ekor singa.

“Secara umumnya, pelajar mampu memikul pelbagai peranan dalam pasukan selepas kira-kira enam bulan latihan bagi persembahan asas. Namun, rutin lebih kompleks memerlukan latihan bertahun-tahun dan persembahan untuk pertandingan menuntut standard yang lebih tinggi.

“Semua pelajar juga menjalani latihan Wushu kerana ia menyediakan kekuatan fizikal, ketangkasan dan disiplin yang penting untuk tarian singa,” katanya kepada Bernama.

Chester berkata penting untuk difahami bahawa tarian singa dan naga bukan sekadar tradisi, malah telah berkembang menjadi sukan kompetitif, yang dipertandingkan dalam acara antarabangsa seperti Sukan Tertutup Asia.

Beliau berkata ia lebih tepat ditakrifkan sebagai sukan warisan budaya, yang sekian lama menarik penyertaan pelbagai komuniti di Sarawak termasuk kaum Cina, Dayak dan Melayu.

Mengenai kepentingan budaya tarian singa, Chester berkata tradisi itu dipercayai mampu menghalau roh jahat, membawa tenaga positif serta tuah dan kemakmuran.

Beliau berkata setiap persembahan tarian singa mencerminkan disiplin tinggi, dedikasi, kerja berpasukan serta nilai-nilai positif yang dizahirkan oleh para penari.

“Ketika ini, sebanyak  80 pelajar daripada tiga sekolah di Kuching menyertai program Tarian Singa dan Naga anjuran CMAA.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan