Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rumah Ibadat Tidak Sah: MB Selangor Arah Prosedur Dipertingkat 

12/02/2026 10:03 PM

SHAH ALAM, 12 Feb (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan supaya prosedur yang diguna pakai kerajaan negeri ketika ini bagi isu rumah ibadat tidak sah yang menduduki tanah milik kerajaan negeri, dipertingkatkan.

Amirudin berkata di samping itu, tindakan segera pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pengukuhan Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang lebih jelas, perlu dilaksanakan.

“Untuk rumah ibadat yang menduduki tanah milik persendirian pula, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapat perintah mahkamah bagi membolehkan sebarang pengosongan dan perobohan berlaku.

Ad Banner

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Susulan itu, Amirudin berkata mengambil kira aspek keselamatan, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor memutuskan bahawa mana-mana pemilik tanah yang mendapati pencerobohan telah berlaku (di tanah milik mereka) dan rumah ibadat dibina tanpa kelulusan perlu membuat laporan polis.  

“Langkah ini akan membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dan sekiranya terbukti, proses pendakwaan bagi kesalahan pencerobohan itu akan dimulakan.

“Kedua, menghantar notis kepada pihak penceroboh dan memaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah. Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor,” katanya.

Untuk langkah seterusnya, Amirudin berkata JKD bakal bertindak sebagai pengantara yang akan memanggil semua pihak termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.

“Sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

“Pendekatan ini digunakan supaya keseluruhan proses ini melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang insiden yang mampu mencetuskan rusuhan berlaku,” katanya.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan beliau mempengerusikan Mesyuarat MKN Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, Panglima Markas 11 Bridged, Yang Dipertua Majlis, dan pegawai daerah berkenaan tahap keselamatan awam negeri, petang tadi. 

“Ini susulan daripada isu berhubung rumah ibadat yang menimbulkan pelbagai silang pendapat daripada pelbagai pihak. PDRM sedang menyiasat insiden yang berlaku di Rawang semalam dan akan melalui proses undang-undang yang sewajarnya. 

“Kejadian di Rawang semalam telah mencetuskan kegusaran dan kerisauan dalam kalangan rakyat. Ini perlu ditangani segera untuk mengelakkan sebarang insiden yang akan menggugat keharmonian negeri atas faktor kaum dan agama,” katanya.

Menerusi mesyuarat itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan, terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat yang tidak sah, iaitu rumah ibadat yang menduduki tanah milik kerajaan negeri, dan rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan