Ad Banner
 AM > BERITA

MOSTI Lancar Dana PEMACU 2.0, Fokus Lima Bidang Strategik

11/02/2026 02:28 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan Dana Pemacu Teknologi Strategik (PEMACU) 2.0 berjumlah RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memberi tumpuan kepada lima bidang strategik melibatkan nuklear, bahan termaju, hidrogen, bioteknologi dan angkasa.

Menterinya, Datuk Chang Lih Kang berkata fokus berkenaan sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh pembangunan teknologi berimpak tinggi dan meningkatkan kadar komersialisasi produk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan.

“Dana keseluruhan adalah RM100 juta dan kita ada dua skim iaitu Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sehingga RM10 juta bagi setiap projek dan Dana Pembangunan Teknologi sehingga RM4 juta bagi setiap projek.

Ad Banner

“Kali ini fokus kita adalah kepada Tahap Kesiapsiagaan Teknologi (TRL) 4 ke atas kerana kita mahu memastikan produk R&D dapat dikomersialkan dan sampai ke pasaran, bukan sekadar berada di makmal,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran PEMACU 2.0 di sini hari ini.

Chang berkata dana berkenaan merupakan anjakan daripada pelaksanaan sebelum ini di bawah RMK12 yang tidak memberi penekanan khusus kepada TRL.

Beliau berkata sepanjang RMK12, sebanyak 170 projek dengan peruntukan RM379 juta diluluskan dan melalui pendekatan baharu berteraskan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I), MOSTI mahu mempercepatkan peralihan teknologi ke tahap kesiapsiagaan pasaran lebih tinggi demi pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi.

“Sebuah negara yang ingin maju mesti berani melihat realiti dengan jujur. Ini kerana sebahagian besar projek R&D yang dibangunkan masih berada pada TRL 2 hingga 3, iaitu peringkat awal penyelidikan.

“Sering kali teknologi kita terhenti bukan kerana tidak bagus, tetapi kerana tiada sokongan pada fasa paling kritikal iaitu fasa peningkatan skala, pengesahan pasaran dan pembangunan produk. Di sinilah wujudnya apa yang disebut sebagai jurang kritikal pengkomersialan,” katanya.

Beliau berkata semua pihak perlu melihat Dana PEMACU 2.0 bukan hanya sekadar sebagai sumber kewangan, tetapi sebagai titik perubahan budaya inovasi negara dan tidak bergantung sepenuhnya kepada negara luar.

Permohonan terbuka kepada universiti, institut penyelidikan kerajaan, syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjalankan projek R&D dalam bidang berkaitan.

Sebarang maklumat lanjut dan garis panduan berkaitan skim pembiayaan PEMACU 2.0 boleh diakses melalui portal Sistem Dana Bersepadu (SDB) di https://sdb.mosti.gov.my/sdbcms/garispanduan/.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan