Ad Banner
 AM > BERITA

Kembara Revolusi TVET Sebar Luas Maklumat, Tingkat Kesedaran Pelajar

11/02/2026 01:05 PM

SUNGAI BULOH, 11 Feb (Bernama) -- Program Kembara Revolusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bukan sekadar siri jelajah atau pameran bergerak, sebaliknya cerminan kepada tekad Kerajaan MADANI memastikan pembangunan kemahiran menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata program kembara melibatkan 120 peserta bermotosikal daripada pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia berperanan menyebar luas maklumat dan meningkatkan kesedaran mengenai TVET dalam kalangan pelajar.

“Siri jelajah selama dua hari di enam lokasi di Selangor dan Perak akan memberi ruang kepada penerangan mendalam mengenai hala tuju kerjaya, program latihan serta kebaikan menguasai kemahiran teknikal pada masa kini,” katanya. 

Ad Banner

Ramanan berkata demikian selepas majlis perasmian Program Kembara Revolusi TVET 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh hari ini.

Beliau berkata siri pertama tahun ini merangkumi enam sekolah antaranya SMK Khir Johari, Bagan Datuk dan SMK Seri Manjung di Perak sebelum diteruskan ke zon utara, timur dan selatan tanah air secara berkala setiap tahun.

Beliau berkata kekuatan utama TVET terletak pada kadar kebolehpasaran graduan yang sangat tinggi, iaitu mencecah 95.5 peratus, dengan kemahiran teknikal antara “mata wang baharu” dan menerima permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja hari ini.

“Industri hari ini bukan sekadar mencari pekerja (sebaliknya) sedang dahagakan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan teknologi hijau.

“Saya ingin tegaskan TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi laluan kerjaya utama yang menjanjikan masa depan yang cerah,” katanya.

Selain itu, Ramanan mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada sekolah itu untuk penambahbaikan dan menaik taraf dewan sekolah, iaitu peruntukan tambahan kepada dana RM30,000 yang disalurkan sebelum ini bagi kerja pembaikan kecil di dewan tersebut.

Beliau berkata usaha memperkasakan infrastruktur pendidikan selari dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap pelajar mempunyai persekitaran pembelajaran yang kondusif selain bersedia menyertai arus perdana revolusi kemahiran negara.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan