JOHOR BAHRU, 10 Feb (Bernama) -- Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) memperuntukkan RM5 juta tahun ini bagi membantu kira-kira 1,000 anak yatim dan yatim piatu di seluruh negara yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.
Pengerusi YKM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bantuan diberikan secara bulanan dan sekali beri kepada mereka yang layak termasuk pada musim perayaan.
Beliau berkata sempena Tahun Baharu Cina sebanyak 11 keluarga di seluruh negara akan menerima manfaat bantuan sekali beri RM300 dengan keseluruhan peruntukan RM5,000.
"Bantuan akan mula dikreditkan bermula hari ini melalui akaun bank masing-masing," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga sempena Tahun Baharu Cina di Larkin di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata YKM akan turut melaksanakan program tuisyen dalam talian secara percuma yang akan memanfaatkan 54 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara.
Beliau berkata usaha yang dijangka bermula minggu hadapan itu adalah langkah diambil yayasan itu bagi memberikan penekanan khusus untuk meningkatkan tahap pendidikan anak-anak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial