JOHOR BAHRU, 10 Feb (Bernama) -- Loji Rawatan Air (LRA) Skudai berkapasiti 50 juta liter sehari terhenti sejak 31 Jan lepas susulan paras ammonia tinggi akibat aliran sungai yang rendah, namun tiada akaun pengguna terjejas kerana bekalan disokong oleh beberapa loji rawatan air lain.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Saleh berkata bekalan di kawasan terlibat kini disokong oleh LRA Semangar, LRA Sungai Layang serta tambahan 25 juta liter sehari daripada Agensi Air Nasional Singapura (PUB).
“Walaupun LRA Skudai terpaksa dihentikan operasi buat sementara, pengguna tidak terjejas kerana kita telah mengaktifkan sumber sokongan daripada loji-loji lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas situasi di Simpang Renggam dan Pontian, beliau berkata paras Sungai Benut kini berada pada tahap minimum manakala Empangan Machap berada di bawah paras operasi selamat, menyebabkan LRA Simpang Renggam hanya mampu beroperasi sekitar 34 peratus kapasiti.
Mohamad Fazli berkata bagi menstabilkan bekalan, LRA Yong Peng menyalurkan tambahan empat juta liter sehari, manakala pemasangan sistem pontoon di Empangan Machap sedang dilaksanakan bagi membolehkan tambahan sehingga 20 JLH disalurkan ke Sungai Benut untuk menyokong operasi loji.
Beliau berkata di lapangan sebanyak 28 lori tangki air sedang beroperasi di Kluang dan Pontian, dengan tambahan 14 lori tangki dari luar Johor dijangka tiba hari ini.
“Selain itu, 15 lori tangki bantuan dari negeri lain turut digerakkan khusus untuk kawasan Pontian dan Simpang Renggam, manakala sebanyak 41 tangki air statik ditempatkan di lokasi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata operasi pembenihan awan turut dijadualkan pada 11, 12 dan 15 Feb ini sebagai usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan tadahan air.
Sementara itu, mengulas LRA Lok Heng yang kini beroperasi sekitar 40 peratus, beliau berkata Syarikat Air Johor (SAJ) telah mengaktifkan pengambilan air dari Sungai Lukah sejauh 3.5 kilometer dan proses pengepaman sedang berjalan bagi membantu menstabilkan operasi.
Beliau berkata fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah memastikan bekalan asas terus sampai kepada rakyat walaupun berdepan cabaran paras air mentah yang rendah.
“Setiap langkah mitigasi sedang digerakkan secepat mungkin bagi meminimumkan kesan kepada pengguna,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial