Ad Banner
 AM > BERITA

Najib Sedar Akaun Bank, Guna Untuk Pengeluaran Cek - Saksi

10/02/2026 05:24 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak pada setiap masa menyedari keadaan akaun peribadi AmBank miliknya dan secara aktif menggunakan akaun berkenaan bagi tujuan pengeluaran cek.

Bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 54, berkata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, beberapa kali berhubung dengannya menerusi perbualan BlackBerry Messenger (BBM) bagi mendapatkan kepastian sama ada akaun bank Najib berada dalam keadaan terlebih pengeluaran.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam SRC International Sdn Bhd, Kwan Will Sen, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan SRC bersama anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap bekas perdana menteri itu.

Ad Banner

Kwan merujuk kepada satu mesej BBM daripada Jho Low yang berbunyi, “Please check if Ambank acc is overdrawn, boss said he wrote a big cheque,” dan bertanya sama ada perkataan “boss” merujuk kepada defendan.

Yu menjawab beliau percaya demikian.

Kwan: Berdasarkan pemahaman anda, perkataan "boss" merujuk kepada defendan dan sebelum ini anda memberitahu hanya Najib mempunyai kuasa menandatangani sebarang cek. Oleh itu, boleh dibuat inferens bahawa defendan sedar dan bergantung kepada akaun berkenaan bagi tujuan pengeluaran cek?

Yu: “Ya.”

Kwan: Mesej-mesej Jho Low kepada anda pada asanya datang daripada Najib yang bertanya bagi memastikan terdapat dana mencukupi dalam akaunnya.

Yu: “Ya.”

Beliau turut bersetuju dengan cadangan Kwan bahawa Najib pada hakikatnya mengarahkan atau meminta Jho Low menghubunginya bagi memastikan transaksi kad kredit defendan berjalan lancar.

Apabila dicadangkan bahawa keadaan itu menunjukkan Najib sepenuhnya menyedari urusan akaun terbabit dan membelanjakan perbelanjaan daripadanya, Yu sekali lagi menjawab, “Ya.”

Sementara itu, ketika pemeriksaan semula oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Yu bersetuju bahawa sepanjang tempoh beliau bertindak sebagai pengurus perhubungan bagi akaun Najib dari 2011 hingga 2015, beliau percaya wang yang dikreditkan ke dalam akaun berkenaan adalah dana derma seperti yang diwakili oleh Jho Low.

“Ya, berdasarkan dana yang masuk, saya percaya ia adalah wang derma seperti yang diwakili oleh Jho Low, namun selepas itu saya sendiri tidak pasti; ia hanyalah deposit tunai yang dibuat di kaunter. Selain deposit tunai, kami menerima kiriman wang itu dengan niat baik berdasarkan surat sokongan yang menyatakan dana berkenaan adalah derma,” katanya.

Saman sivil yang difailkan pada 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta serta ganti rugi bagi penerimaan yang mengetahui, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan