JAKARTA, 10 Feb (Bernama) -- Pendekatan ASEAN yang diselaraskan dalam menangani cabaran global, termasuk usaha memperkukuh keselamatan dalam talian untuk kanak-kanak akan membantu menguatkan suara kolektif rantau ini di pentas antarabangsa.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata blok 11 anggota dengan populasi lebih 660 juta itu yang turut berkongsi nilai budaya juga akan mendapat manfaat daripada pendekatan bersepadu dalam melaksanakan tindakan dan inisiatif bersama.
“Jadi apabila kita boleh menyelaraskan usaha kita, ini akan menjadikan suara ASEAN lebih lantang,” katanya kepada Bernama selepas sesi pertemuan dengan Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Nezar Patria, di sini, hari ini.
Turut hadir ketua pegawai eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, ketua pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, timbalan ketua pengarang Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Shukri Ishak, dan timbalan ketua pengarah (Strategik) RTM Hamzah Ishak.
Teo sedang dalam rangka lawatan kerja tiga hari atas jemputan Indonesia untuk menghadiri Hari Akhbar Kebangsaan (HPN) 2026 di Banten dan dijadual pulang ke Malaysia, hari ini.
Teo berkata keselamatan dalam talian adalah bidang kerjasama serantau yang boleh diperkukuh dengan menyatakan Indonesia sebelum ini telah mengambil inisiatif untuk menyekat platform kecerdasan buatan (AI) Grok, sebelum Malaysia mengambil langkah yang sama, diikuti Filipina.
“Mungkin pendekatan yang diambil berbeza, tetapi memang sangat bagus untuk kita duduk bincang kongsi pengalaman dan berkongsi amalan terbaik,” katanya.
Begitu juga, Malaysia dan Indonesia sedang dalam usaha untuk mengehadkan penggunaan media sosial dalam kalangan remaja di bawah umur 16 tahun, dengan Malaysia akan menguatkuasakannya pada Julai ini selari dengan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025), manakala Indonesia merancang untuk memulakan sekatan mulai Mac.
Dalam hal ini, Teo berkata, pendekatan Indonesia dan Malaysia sedikit berbeza dengan Malaysia kini menumpukan sekatan hanya pada platform media sosial, manakala Indonesia sedang menimbang kemungkinan untuk meluaskan sekatan merangkumi pelbagai kandungan dalam talian.
“Jadi kita bincang bagaimana mereka nak laksanakan. Jadi kita rasa hasrat kerajaan Indonesia dan Malaysia sama.
“Setakat ini, kita hadkan kepada media sosial dan apa yang dibuat Indonesia ke atas lebih banyak platform, kita akan kaji dan lihat perkembangannya,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial