Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Teliti Pindaan Perundangan, Tutup Ruang Manipulasi Pembelian RON95 Bersubsidi

09/02/2026 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti beberapa pindaan perundangan termasuk tindakan terhadap individu yang mengisi atau cuba mengisi petrol RON95 secara tidak sah, menggunakan identiti orang lain serta sebarang kaedah penipuan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pada masa ini, liabiliti penguatkuasaan lebih tertumpu kepada pemegang lesen atau pengusaha premis barang kawalan.

Beliau berkata langkah memperkasakan perundangan itu perlu dilakukan bagi menutup ruang manipulasi seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu atau taktik memperdaya pengusaha stesen.

Ad Banner

“Ia juga memberikan kejelasan tanggungjawab yang munasabah kepada pengusaha stesen minyak tanpa meletakkan beban tidak praktikal seperti keperluan menyemak butiran teknikal kenderaan di luar kemampuan operasi harian mereka.

“Ini kerana prinsip asasnya RON95 merupakan barang kawalan bersubsidi yang diperuntukkan kepada warganegara Malaysia melalui kenderaan berdaftar Malaysia, selaras dengan dasar penyasaran subsidi,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Armizan berkata KPDN juga sedang mengkaji mekanisme menyekat penggunaan kad kredit asing untuk pembelian petrol RON95 bagi memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat yang layak.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan mengumumkan pengurangan kadar insentif gula dalam masa terdekat.

“Secara asasnya kita sedang meneliti bersama Kementerian Kewangan mengenai hala tuju harga gula putih bertapis ini, namun sambil kita menunggu hala tuju yang muktamad ditetapkan, langkah awal kita akan kurangkan insentif,” katanya.

Pemberian insentif kewangan berjumlah RM42 juta sebulan kepada pengilang gula tempatan dibuat sebagai langkah sementara kerajaan sejak November 2023 bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan disalurkan secara berterusan.

Pada sesi sama, Armizan memaklumkan satu pelan tindakan kos sara hidup akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini bagi memastikan sebarang tindakan ke hadapan diambil secara lebih berkesan dan bersasar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan