ISKANDAR PUTERI, 8 Feb (Bernama) -- Samurai Paint mencatat rekod ASEAN dan Asia selepas berjaya melengkapkan acara semburan aerosol automotif terbesar di rantau ini, dengan 30 badan kereta disembur cat menggunakan tin aerosol dalam satu cabaran tunggal.
Acara selama tiga hari yang berakhir hari ini di Sireh Park di sini, diiktiraf secara rasmi oleh Asia Records dan ASEAN Records di bawah kategori ‘Jumlah Tertinggi Mengecat Badan Kereta Penuh Dengan Aerosol Dalam Satu Acara’.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Pengarah Urusan ASEAN Records dan Asia Records Gillian Ooi dan Pengarah Eksekutif Eldrick Koh kepada Ketua Pegawai Eksekutif Samurai Paint Ian Ong Yoke En, Eksekutif Kanan Pembangunan Perkhidmatan Ahmad Faiz Roslani serta Penolong Pengurus Samurai Service and Academy Nurul Fateha Zainal pada majlis Pembentangan Pencapai Rekod Pengiktirafan oleh Asia Records hari ini.
Ong berkata pencapaian itu menandakan satu mercu tanda penting bagi kemasan automotif berasaskan aerosol, satu bidang yang secara tradisinya didominasi oleh sistem semburan dipacu mesin pemampat di bengkel profesional.
Beliau berkata rekod itu membuktikan usaha penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun yang bertujuan mentakrifkan semula kaedah pengecatan automotif konvensional.
“Pengiktirafan ini membuktikan teknologi aerosol mampu menghasilkan kemasan badan penuh kereta yang tahan lama dan bertaraf profesional pada skala besar, di samping kekal mudah diakses oleh peminat automotif,” katanya kepada Bernama pada acara itu hari ini.
Tidak seperti demonstrasi industri konvensional yang dilakukan pengecat profesional, cabaran itu melibatkan peserta DIY (buat sendiri), mencerminkan tumpuan syarikat terhadap pembangunan kemahiran dan penglibatan komuniti.
Perancangan menyeluruh memastikan setiap kenderaan melalui proses penyemburan cat lengkap daripada penyediaan permukaan hingga kemasan akhir dalam tempoh tiga hari selaras dengan prosedur yang ditetapkan.
Kejayaan menyiapkan kesemua 30 kenderaan itu menekankan aliran kerja praktikal yang berstruktur berasaskan aerosol di luar persekitaran bengkel tradisional.
Percubaan rekod itu mengintegrasikan cat semburan aerosol 2K Samurai, Aero Gun berpaten serta teknologi pemadanan warna Tintatek, yang menonjolkan peningkatan dari segi ketepatan, konsistensi warna dan kecekapan aplikasi.
Menampilkan mekanisme dua komponen terbina yang membolehkan cat dan pengeras bercampur secara dalaman, Samurai 2K direka untuk menghasilkan ketahanan setaraf bengkel tanpa peralatan semburan khusus, tertakluk kepada penyediaan dan pengudaraan yang betul.
Seiring dengan penganjuran acara itu, Samurai Paint menanam 30 pokok di Sireh Park di sini, mengukuhkan komitmen syarikat itu terhadap tanggungjawab alam sekitar di samping kemajuan teknologi.
Ong berkata inisiatif yang dianjurkan di Malaysia itu bertujuan menjadi asas kepada program tahunan jangka panjang, sekali gus meletakkan syarikat itu sebagai penanda aras serantau dalam inovasi kemasan automotif berasaskan aerosol.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial