Ad Banner
 AM > BERITA

Rumah Mesra Rakyat Lambang Simbol Kestabilan Hidup, Masa Depan Lebih Terjamin

08/02/2026 08:56 PM

TEMERLOH, 8 Feb (Bernama) -- Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) tidak hanya menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat, tetapi juga menjadi simbol kestabilan hidup dan jaminan masa depan yang lebih baik.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kerajaan menerusi kementeriannya dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sentiasa komited memastikan akses kepada perumahan berkualiti terus diperluas kepada golongan memerlukan.

"Program RMR antara inisiatif bersama SPNB yang menawarkan kediaman selesa serta berkualiti bagi golongan berpendapatan rendah. 

Ad Banner

"Program ini satu daripada cara dan agenda kerajaan membantu penduduk khususnya di kawasan kampung  yang mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri. Rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi juga tempat membina kehidupan dan keluarga serta membesarkan anak-anak," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMR di Lanchang di sini hari ini yang menyaksikan sebanyak 13 penduduk Parlimen Temerloh menerima manfaat Program RMR menerusi penyerahan lapan surat tawaran dan lima kunci rumah.

RMR ditawarkan pada harga RM75,000 dengan subsidi kerajaan sebanyak RM20,000, manakala baki RM55,000 dibiayai melalui pinjaman tanpa faedah hingga 16 tahun dengan kediaman tersebut dibina berkeluasan 69.6 meter persegi, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air untuk keselesaan penghuninya.

Menerusi Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan 6,545 unit RMR di seluruh negara, dengan Pahang menerima 680 unit, termasuk 160 unit dilaksanakan ketika ini.

Bagi Parlimen Temerloh, sebanyak 1,933 permohonan RMR telah diterima sejak 2002, dengan 555 unit siap dibina dan diserahkan, manakala 18 unit lagi dalam pembinaan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mohd Jamil Idris menasihati orang ramai agar tidak terperdaya dengan pihak yang menawarkan permohonan RMR menerusi media sosial kerana syarikatnya tidak pernah melantik individu atau agensi sebagai orang tengah bagi menguruskan permohonan itu.

"Kalau kita tengok di laman sosial seperti TikTok, ada yang mendakwa kononnya mereka diberi 'mandat' menjadi pemudah cara bagi memohon RMR, perkara ini tidak betul sama sekali. 

"Oleh itu, sesiapa yang ingin memohon RMR diminta berhubung terus dengan pejabat SPNB negeri atau mendapatkan maklumat melalui laman sesawang syarikat SPNB," katanya.

Mohd Jamil berkata pihak SPNB telah mengesan satu kes melibatkan permohonan RMR yang dibuat melalui pihak ketiga di sebuah negeri baru-baru ini, tetapi kes itu selesai selepas perbincangan dan campur tangan wakil rakyat kawasan terbabit. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan