KOTA BHARU, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri akan memperhalusi beberapa cadangan daripada Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan untuk mempromosikan perkhidmatan beca sebagai ikon pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamaruddin Md Noor berkata perkara itu memerlukan masa untuk mencapai kata sepakat dan kerjasama daripada semua pihak seperti pengusaha beca, agensi pelancongan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Kami akui perkhidmatan beca di sekitar bandar Kota Bharu khususnya berdepan cabaran besar apabila jumlah pengayuh beca semakin berkurangan dan kebanyakannya terdiri daripada warga emas.
“Setakat ini hanya 16 beca berdaftar dengan Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di Kota Bharu dan semua pengayuhnya berusia lebih 70 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kamaruddin berkata minat golongan muda untuk menceburi bidang itu juga semakin berkurangan, malah kesemua beca berkenaan dimiliki secara persendirian.
“Kerajaan negeri memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM500 sebulan kepada setiap pengayuh beca yang berdaftar dengan TIC sejak 2025, berbanding RM100 sebulan sebelum ini bagi membantu meringankan beban mereka.
“Saya juga telah minta pihak TIC untuk selaraskan usaha ini bagi membantu pengayuh beca termasuk menyediakan tempat menunggu penumpang, menetapkan kadar tambang serta laluan perjalanan yang sesuai,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan beca yang pernah menjadi pengangkutan utama di bandar Kota Bharu kini berhadapan cabaran untuk kekal relevan dalam arus pemodenan, meskipun masih mempunyai nilai warisan budaya serta potensi sebagai produk pelancongan negeri.
Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan Wan Saipul Azwal Wan Muhammad berkata ketiadaan kemudahan asas seperti stesen khas, papan tanda dan lokasi menunggu penumpang dikenal pasti antara faktor yang menyukarkan pelancong mendapatkan perkhidmatan beca, sekali gus menjejaskan kelangsungan kerjaya penarik beca tradisional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial