PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bukan sahaja bertanggungjawab dalam menguruskan zakat, wakaf, hal ehwal pentadbiran serta kemajuan pendidikan, tetapi berperanan dari sudut sosial dengan mewujudkan mesej perpaduan serta semangat hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata penganjuran MAIWP RUN 2026 bersama Koperasi PPZ Bhd (KoPPZ) antara usaha berterusan untuk memupuk gaya hidup sihat, di samping menekankan nilai-nilai murni seperti perpaduan, disiplin dan semangat kesukarelawanan.
Beliau berkata walaupun larian itu dianjurkan oleh MAIWP, ia berjaya menarik penyertaan peserta daripada pelbagai agama dan kaum, malah ada peserta dari luar negara seperti India, China, Afrika dan Eropah, yang membuktikan perpaduan boleh dicapai atas dasar kemanusiaan.
"Tahun ini menandakan edisi keempat MAIWP RUN, yang menyaksikan penyertaan 10,020 pelari dan tidak ketinggalan juga larian bikeisable bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus meraikan penyertaan semua lapisan masyarakat," katanya kepada media selepas menyertai acara itu, di sini hari ini.
MAIWP RUN 2026 menawarkan pelbagai kategori larian termasuk separuh maraton, 10 kilometer (km), lima km, tiga km selain bikeisable.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kasih OKU, Mohd Fadli Samad, 41, hadir bersama anaknya, Muhammad Emir Rizqi, 10, yang menghidap Cerebral Palsy (CP), bagi menyokong komuniti dan meraikan golongan istimewa berkenaan.
Beliau berkata penyertaan dalam acara seperti ini bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi terapi emosi untuk ibu bapa serta peluang membiasakan anak-anak dengan khalayak ramai.
“Alhamdulillah, sejak hampir lapan tahun menyertai program larian di Malaysia, penerimaan masyarakat sangat baik. Di sini, kami dapat lihat bagaimana peserta lain turut menyantuni anak-anak kami, memberikan pengalaman sosial yang positif dan memperkasakan emosi ibu bapa,” katanya ketika ditemui Bernama.
Beliau menambah, fasiliti di lokasi seperti Putrajaya sangat mesra OKU, sekali gus memudahkan pergerakan dan menjamin keselamatan anak-anak.
Norul Ismahanum Abdul Razak atau lebih mesra sebagai ‘Vee’, 39, mencuri perhatian dalam MAIWP RUN apabila tampil memakai kostum watak Hela daripada filem Thor, manakala rakannya pula memakai watak Batman semasa larian lima km.
Beliau berkata ini kali ketiga menyertai acara itu dan kostum dipilih untuk memeriahkan suasana serta memberikan sokongan kepada pelari lain, terutamanya adik-adik kecil.
“Perasaan paling seronok bila tengok kanak-kanak di sini gembira dapat lihat saya, sebab saya faham budak-budak perlu bangun pagi untuk acara sebegini memang penat. Jadi saya harap mereka terhibur dengan kehadiran saya dan lagi teruja untuk sertai larian seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial