KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Legasi Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang bersandarkan kepada nilai-nilai rendah diri, integriti, toleransi dan khidmat kepada rakyat, seharusnya terus dijadikan sebagai panduan memandu negara, kata aktivitis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Lee menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena ulang tahun ke-123 kelahiran Perdana Menteri pertama negara itu berkata Tunku Abdul Rahman merupakan seorang negarawan hebat yang membina negara berlandaskan sifat kebaikan dan rasa hormat.
“Tunku benar-benar percaya pada pembinaan negara. Beliau tidak melihat sebuah negara yang berpecah belah disebabkan oleh kaum atau agama. Sebaliknya, beliau melihatnya sebagai sebuah keluarga besar.
“Tunku sering berkata bahawa kepelbagaian kita adalah kekuatan terbesar kita, bukan kelemahan. Beliau memimpin dengan sifat kebapaan dan sentiasa mengutamakan kebahagiaan rakyat,” katanya.
Lee yang juga Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat memuji sifat integriti dan keterbukaan Tunku Abdul Rahman sambil berkongsi satu kisah melibatkan seorang wartawan muda yang pernah menemu bual almarhum.
“Wartawan berkenaan bertanyakan banyak soalan kepada beliau, satu demi satu, tanpa henti. Tunku diam seketika dan dengan senyuman yang tenang beliau berkata: “Anak muda, kenapa kamu tanya saya banyak soalan? Tulis sajalah apa yang anda suka. Saya tak akan nafikan apa-apa,” katanya.
Lee berkata Tunku Abdul Rahman tidak percaya pada kawalan naratif atau menyembunyikan fakta, dengan menyatakan beliau mempercayai wartawan dan yakin dengan apa yang diperjuangkannya.
Beliau berkata bekas perdana menteri itu akan dikenang selama-lamanya sebagai pemimpin yang membawa kemerdekaan negara secara aman pada 1957 berlandaskan keberanian, kebijaksanaan, dan kepercayaan yang teguh terhadap perpaduan.
“Pada ketika masa depan tanah air kita dalam keadaan tidak menentu, Tunku memilih dialog berbanding perpecahan, kesederhanaan berbanding ekstremisme, dan perpaduan berbanding kepentingan sempit. Kepimpinan beliau meletakkan asas untuk sebuah negara Malaysia yang berdaulat, demokratik dan berbilang kaum,” katanya.
Selain mendapatkan kemerdekaan, Lee berkata Tunku Abdul Rahman memainkan peranan penting dalam pembinaan negara dengan menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya, berpandukan kepercayaannya bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya.
"Visi beliau tentang masyarakat harmoni, dipandu oleh kedaulatan undang-undang dan saling menghormati, kekal relevan hingga hari ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial