Ad Banner
 AM > BERITA

BARAKAT, BERKAT Buka Ruang Usahawan Kembang Perniagaan

07/02/2026 03:53 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Inisiatif pembiayaan khas berjumlah RM80 juta untuk usahawan mikro sempena musim perayaan membuka ruang kepada pengembangan perniagaan dan berupaya meningkatkan pendapatan mereka menjelang perayaan besar yang signifikan kepada ekonomi rakyat.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi menyambut baik pengumuman Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berhubung penyediaan dana pembiayaan khas bertujuan membantu dan memperkasakan usahawan mikro di seluruh negara.

“Inisiatif pembiayaan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memastikan peniaga kecil tidak tercicir daripada arus pembangunan ekonomi.

Ad Banner

“Inisiatif ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga kecil dalam memperkukuh kelangsungan perniagaan sepanjang musim perayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sim sebelum ini mengumumkan Skim Biaya Ramadan Perniagaan Rakyat (BARAKAT) bernilai RM50 juta yang disediakan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menawarkan pembiayaan maksimum RM30,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 12 bulan pada kadar tiga peratus setahun.

Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) yang ditawarkan SME Corp dengan peruntukan sebanyak RM30 juta pula menyediakan pembiayaan sehingga RM30,000 kepada usahawan Cina dengan kadar keuntungan serendah tiga peratus setahun.

Pembiayaan itu disalurkan menerusi platform Peer-to-Peer (P2P) CapBay yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sekali gus menjamin ketelusan dan tadbir urus yang baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan