Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Cadang Perluas Pendidikan Al-Quran, Tahfiz Di Sekolah Rendah - Ahmad Zahid

06/02/2026 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan bercadang memperluaskan pendidikan al-Quran dan tahfiz dalam kalangan pelajar sekolah rendah tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata bagi tujuan itu beliau telah mengadakan mesyuarat dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada minggu lepas.

Beliau berkata perbincangan itu penting kerana cadangan berkenaan memerlukan penyelarasan kurikulum bagi memastikan pembelajaran pratahfiz yang dilaksanakan di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dapat diteruskan daripada tahun satu hingga tahun enam.

Ad Banner

“Kita mahu pembelajaran (semasa) pratahfiz di tabika atau Tabika KEMAS dapat diteruskan ke sekolah rendah untuk mengelakkan kerugian pembelajaran,” katanya ketika berucap merasmikan Maahad Tahfiz AlMashrafe di Batu Caves di sini malam ini.

Ahmad Zahid ketika ditemui berkata pihaknya turut mencadangkan agar pelajar Islam diberikan kelas tambahan bagi memastikan mata pelajaran penghafazan al-Quran diteruskan di sekolah rendah sebagai kesinambungan pembelajaran yang diperoleh di Tabika dan Tadika KEMAS.

Beliau ketika ditanya sama ada pelaksanaan inisiatif itu melibatkan penambahan guru agama berkata tenaga pengajar sedia ada di Tabika dan Tadika KEMAS mencukupi manakala pelaksanaannya di sekolah kebangsaan bergantung kepada pertimbangan Kementerian Pendidikan.

Menurut Ahmad Zahid, usaha memperluas pendidikan tahfiz itu adalah sebahagian tanggungjawab dan ikhtiar untuk memperkukuh pendidikan Islam dalam kalangan generasi muda dan tidak mempunyai sebarang tujuan politik.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata persetujuan juga dicapai bersama Fadhlina untuk menyelaraskan peranan Tabika dan Tadika KEMAS sebagai feeder school kepada sekolah kebangsaan dengan penekanan kepada penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Maahad Tahfiz AlMashrafe diasaskan oleh Datuk Dr Mohammad Idris AlMashrafe pada 2024 bagi melahirkan ulama dan huffaz berwibawa yang menguasai al-Quran serta ilmu-ilmu teras Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan