KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan patah tulang pinggul, dibenarkan menjalani home leave sejak dua hari lepas susulan perkembangan pemulihan yang memuaskan.
Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata pasukan perubatan IJN setakat ini berpuas hati dengan tahap kemajuan pemulihan kesihatan serta tindak balas bekas Perdana Menteri itu terhadap rawatan dan fisioterapi yang diberikan.
“Hari ini genap sebulan Dr Mahathir dirawat dan sejak dua hari lepas, pada 4 dan 5 Feb, Dr Mahathir telah dibenarkan home leave iaitu pulang dan tidur di kediaman beliau. Di sebelah siang pula, Dr Mahathir ke IJN untuk meneruskan rawatan dan pemerhatian pihak perubatan.
“Walaupun dibenarkan pulang ke rumah secara berperingkat Dr Mahathir tetap berada dalam pemantauan pasukan perubatan IJN,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sufi berkata Dr Mahathir dan keluarga mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.
Beliau berkata pakar perubatan masih menasihatkan supaya Dr Mahathir tidak menerima pelawat selain keluarga terdekat buat masa ini.
Pemimpin berusia 100 tahun itu dimasukkan ke IJN pada 6 Jan lepas, selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan, di sini dan disahkan mengalami patah tulang pinggul kanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial