Ad Banner
 AM > BERITA

Dua Jeti Di Port Dickson Berwajah Baharu, Beri Nilai Tambah Pelancongan

05/02/2026 06:06 PM

PORT DICKSON, 5 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur jeti Kampung Telok Pelandok dan Pengkalan Kempas dengan nilai keseluruhan RM1 juta di daerah ini, akan memberikan nilai tambah kepada sektor pelancongan di Negeri Sembilan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian negeri Nicole Tan berkata hal ini kerana projek itu bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna, tetapi juga menyokong aktiviti pelancongan marin serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.

Beliau berkata perkara itu turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan, sekali gus meningkatkan daya tarikan di Port Dickson sebagai destinasi pelancongan utama Negeri Sembilan.

Ad Banner

"Dua produk baharu ini diyakini akan memberikan banyak pengisian kepada pelancong yang datang ke Negeri Sembilan. Ekosistem sudah ada dan kita juga bersedia termasuk dengan kemudahan kapal Cruise, kelip-kelip waktu malam dan kedai makanan yang menyediakan pelbagai menu menarik.

"Pelancong yang datang ke negeri ini tidak akan bosan kerana mereka boleh berkunjung ke banyak lokasi pelancongan baharu sambil bersantai dengan keluarga atau rakan-rakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan jeti pelancongan itu di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayang itu berkata projek di bawah peruntukan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu diharap dapat meningkatkan kemudahan awam serta menyokong industri pelancongan dan perikanan penduduk setempat.

Projek membaik pulih dan menaik taraf Jeti Pelancongan Kampung Telok Pelandok dan Pengkalan Kempas dengan kos masing-masing sebanyak RM500,000 itu bermula pada 14 Julai 2025 dan siap sepenuhnya pada 20 Nov tahun lepas.

Antara skop utama projek itu termasuklah pembersihan tapak, kerja menanam cerucuk, pembinaan struktur konkrit bangsal jeti, kerja kayu dan bumbung pondok nelayan serta kerja kemasan dan cat. 

Dalam pada itu, penduduk setempat Shapra Sulaiman, 62, berkata kemudahan baharu yang disediakan di kedua-dua jeti berkenaan akan memberikan keselesaan serta kemudahan kepada para nelayan, khususnya ketika turun ke laut untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Shapra yang bekerja sebagai nelayan lebih 30 tahun berkata penambahbaikan di Jeti Pengkalan Kempas itu pastinya akan memudahkan urusan harian nelayan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan pengguna jeti serta orang awam.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan