AM > BERITA

NGO Islam Perlu Pembaharuan Tatakelola Bagi Kembalikan Keyakinan Masyarakat - Zulkifli

04/02/2026 08:49 PM

PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Isu penyelewengan dana dan kelemahan tatakelola yang melibatkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menuntut pembaharuan menyeluruh dalam aspek berkenaan bagi mengembalikan keyakinan masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata cabaran utama dalam konteks masyarakat ketika ini ialah terhakisnya keyakinan terhadap NGO akibat beberapa kes tertentu yang berlaku sebelum ini.

Justeru, katanya, usaha mengembalikan keyakinan masyarakat perlu dilaksanakan melalui pengukuhan tahap profesionalisme dan tatakelola yang setanding dengan NGO pada peringkat antarabangsa.

Ad Banner
Ad Banner

“Sebelum ini, kita merasakan bahawa masyarakat sangat yakin terhadap NGO, tetapi apabila ada kes-kes tertentu, perkara ini menyebabkan keterhakisan keyakinan masyarakat, termasuk terhadap NGO Islam.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama pada peringkat kerajaan untuk berusaha mengembalikan semula teras keyakinan ini agar kita dapat sokongan daripada masyarakat dalam negara mahupun antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Program Libat Urus Pembangunan Kapasiti NGO Islam di sini hari ini.

Zulkifli berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memegang amanah untuk membantu dan membimbing NGO Islam bagi memperkukuh aspek tatakelola dan tahap profesionalisme.

“Insya-Allah, JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) dan agensi agama telah mengorak langkah, merancang untuk melakukan perkara ini (memastikan NGO lebih profesional),” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang dilaksanakan ialah penganjuran program libat urus pembangunan kapasiti melibatkan aspek pengurusan dana awam, pengurusan dana serta profesionalisme NGO.

“Hari ini kita mengadakan satu libat urus pembangunan kapasiti dari segi pengurusan dana awam, pengurusan dana, dari segi aspek profesionalismenya,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Zulkifli berkata pendekatan yang diambil ketika ini  bersifat sukarela tanpa paksaan termasuk dari segi audit, dengan penekanan kepada amalan terbaik.

“Kita ingin mewujudkan satu amalan terbaik secara sukarela tanpa ada paksaan yang akhirnya akan mewujudkan keharmonian (keyakinan) masyarakat (aspek terhadap pengurusan dana NGO),” katanya.

Program libat urus anjuran YADIM itu dihadiri lebih 200 wakil NGO Islam dari seluruh negara. 

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan