AM > BERITA

PNB Hanya Pemegang Saham Minoriti IJM, Tiada Kawalan Keputusan - Fadillah

04/02/2026 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak mempunyai pengaruh ke atas sebarang keputusan korporat IJM Corporation Bhd (IJM), susulan dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion yang membabitkan IJM.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata PNB hanyalah pemegang saham minoriti dalam IJM dengan pegangan kurang daripada 13.5 peratus, sekali gus tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan hala tuju atau keputusan strategik IJM.

“Pendekatan ini adalah selaras dengan amalan biasa pasaran modal, di mana sesuatu tawaran am terbuka dinilai secara individu oleh setiap pemegang saham,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Rakyat hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan tawaran oleh Sunway Bhd merupakan satu tawaran am sukarela iaitu tawaran yang dibuat secara sama rata kepada semua pemegang saham IJM. 

“Tawaran am sukarela ini bukan urus niaga yang dirundingkan dengan mana-mana pemegang saham tertentu dan bukan tawaran disasarkan kepada PNB atau mana-mana institusi lain. Selain itu, mana-mana pihak lain berminat boleh mengemukakan tawaran alternatif yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata PNB sebagai antara pemegang saham IJM, hanyalah penerima tawaran dalam kedudukan yang sama seperti semua pemegang saham lain.

Pada masa sama, Fadillah berkata kerajaan tidak akan mencampuri sebarang siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan antara IJM Corp dan Sunway Bhd.

Beliau berkata perkara itu akan diserahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, dilaporkan SPRM sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 billion dan telah mengenal pasti seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat sebagai individu berkepentingan.

SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham dan ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan