AM > BERITA

413 Veteran ATM Dianugerah Pingat Jasa Malaysia

04/02/2026 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 413 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dianugerahkan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dalam satu majlis penuh penghargaan di Dewan Perdana Felda, di sini hari ini.

 Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan anugerah disampaikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin itu merangkumi penerima veteran, balu serta wakil waris sebagai pengiktirafan negara terhadap peranan besar mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air. 

“Ia juga bertujuan mengenang jasa perwira negara serta menghayati sejarah perjuangan mereka yang harus dijadikan iktibar yang sewajarnya demi memastikan masa depan negara yang selamat dan sejahtera,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

Hadir sama, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki.

Kenyataan itu turut memaklumkan, bagi memperkukuh agenda kebajikan veteran ATM, kerajaan pada tahun ini memperuntukkan RM303.3 juta kepada JHEV ATM iaitu peningkatan sebanyak 3.16 peratus berbanding RM294 juta pada 2025. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM274.4 juta atau hampir 90 peratus disalurkan khusus untuk agenda kesejahteraan veteran,” menurut kementerian itu.

Selaras dengan pengumuman Belanjawan 2026, kerajaan bersetuju menyalurkan Penghargaan Khas PJM berjumlah RM500 secara sekali beri kepada semua pemegang pingat berkenaan di seluruh negara. 

“Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 secara sekali beri kepada semua veteran ATM juga akan disalurkan oleh JHEV ATM seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2026 menjadikan jumlah keseluruhan penerimaan bagi pemegang PJM sebanyak RM750,” menurut kenyataan itu.

Inisiatif berkenaan selaras dengan agenda kementerian iaitu untuk memperkasakan kesejahteraan dan kebajikan warga veteran ATM bagi memastikan kepentingan veteran dan keluarga terus terpelihara tanpa ada sesiapa yang tercicir atau terpinggir.

Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin dengan nasib dan hal ehwal yang berkaitan dengan veteran ATM, malah aspek kesejahteraan golongan itu menjadi satu daripada teras utama dalam Agenda Kesejahteraan Veteran menerusi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan