AM > BERITA

Yayasan Terengganu, Batik Air Meterai MOA Sedia Latihan Industri Penerbangan

04/02/2026 06:06 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Feb (Bernama) -- Yayasan Terengganu memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Batik Air bagi menjalankan Program Juruteknik Pesawat Berlesen (CAAM Part-66 Kategori A1), satu inisiatif pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang menyediakan latihan diiktiraf serta peluang kerjaya dalam industri penerbangan.

Pengarah Yayasan Terengganu Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata inisiatif itu dimulakan dengan kelulusan pinjaman pendidikan terhadap 10 pelajar anak Terengganu untuk mengikuti program berkenaan yang bermula pada 3 Nov 2025.

"Mereka akan menjadi penanda aras awal kepada keberkesanan model kerjasama ini. Keutamaan diberikan kepada pemohon yang memenuhi syarat umum Yayasan Terengganu termasuk kriteria anak negeri,  B40 serta syarat akademik seperti lulus Sijil Pelajaran Malaysia (gred minimum C bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains), di samping lulus temu duga dan ujian psikometrik," katanya pada majlis pemeteraian itu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Ahmad Farhan serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Terengganu Ahmad Shah Muhamed mewakili pihak Yayasan Terengganu memeterai MOA itu manakala Batik Air diwakili Pengarah Bahagian Kejuruteraan dan Penyelenggaraannya Lam Hon Kee dan Pengurus Bahagian Latihan Kejuruteraan Fahmi Ismail.

Majlis disaksikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Farhan berkata Yayasan Terengganu dan Batik Air menyasarkan untuk membina laluan kerjaya yang lebih tersusun bagi anak negeri mengikuti latihan asas berlesen hingga peluang kemajuan dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

"Hal ini seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekosistem tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing dalam sektor aeroangkasa negara," katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata melalui usaha sama itu, Batik Air komited untuk menyediakan modul latihan teknikal yang komprehensif bagi melahirkan Juruteknik Penyelenggaraan Kapal Terbang (AMT) dan Jurutera Penyelenggaraan Kapal Terbang (AME).

"Kami sedang membawa generasi muda Terengganu masuk ke dalam sektor teknologi tinggi dan tidak hanya melatih untuk memberi sijil dan lesen menyelenggara kapal terbang, tetapi menyediakan kerjaya. Dengan pertumbuhan pesat armada Batik Air, permintaan terhadap jurutera dan juruteknik adalah sangat kritikal.

"Kami mahu melihat anak-anak jati Terengganu berada di barisan hadapan di lapangan terbang seluruh dunia sekali gus memastikan keselamatan pesawat dan kelancaran operasi penerbangan negara," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan