AM > BERITA

KKR Laksana Tiga Kaedah Penyenggaraan Tangani Isu Jalan Rosak, Berlubang

04/02/2026 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan tiga kaedah penyenggaraan utama bagi menangani isu jalan rosak dan berlubang di jalan Persekutuan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata kaedah itu merangkumi penyenggaraan rutin, penyenggaraan berkala dan penyenggaraan kecemasan, yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi penyenggaraan jalan Persekutuan dilantik.

Beliau berkata penyenggaraan rutin dilaksanakan secara berjadual bagi mencegah kerosakan kecil daripada menjadi lebih serius seperti penampalan awal jalan berlubang.

Ad Banner
Ad Banner

Penyenggaraan berkala pula merangkumi pembaikan yang lebih menyeluruh terhadap permukaan jalan dan bukan permukaan jalan.

“Bagi penyenggaraan kecemasan, kerja pembaikan akan dilaksanakan segera sekiranya berlaku kerosakan kritikal yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan. Bagi jalan Persekutuan, lubang jalan perlu ditampal dalam tempoh kurang atau selewat-lewatnya 24 jam selepas dikenal pasti,” katanya.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) yang ingin tahu peruntukan penyenggaraan jalan raya bagi setiap negeri pada 2024 dan 2025, selain usaha kerajaan bagi memastikan isu jalan rosak dan berlubang ditangani secara berkesan.

Menjawab soalan berhubung perbezaan tahap penyenggaraan jalan antara Semenanjung dan Sabah, Ahmad berkata kerajaan telah memperuntukkan RM341.7 juta bagi penyenggaraan jalan Persekutuan di Sabah pada 2025 melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Beliau berkata penyenggaraan jalan Negeri dan jalan bandaran adalah di bawah tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) daripada Kementerian Kewangan.

“Jika masih ada jalan yang berlubang teruk, Kerajaan Negeri juga bertanggungjawab untuk menyelenggara selain daripada jalan pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, jalan desa di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Jadi itu antara pemain utama yang memastikan jalan-jalan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselenggara dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan