Oleh Ummu Khalidah Hamzah
KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Kewujudan ladang kelapa sawit di negara ini tidak mengancam populasi orang utan, sebaliknya mamalia itu menunjukkan keupayaan untuk beradaptasi dan hidup dalam landskap perladangan, kata Pengurus Besar Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) Hairulazim Mahmud.
Beliau berkata dakwaan bahawa industri sawit memusnahkan habitat orang utan sering dimainkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa menerusi kempen antisawit di Eropah sehingga memberi kesan negatif kepada industri sawit tempatan dan global.
Namun, katanya, realiti sebenar adalah berbeza apabila kajian saintifik mendapati orang utan di Malaysia bukan sahaja menggunakan kawasan ladang sebagai laluan pergerakan, malah membina sarang serta mencari makanan di persekitaran berkenaan.
“Selain kajian tempatan, terdapat juga kajian NGO antarabangsa seperti HUTAN yang menunjukkan orang utan di Sabah sudah mula berasimilasi dengan ladang sawit.
“Menerusi penggunaan dron dan helikopter di sekitar ladang, beberapa sarang orang utan dikesan di atas pokok sawit yang dianyam kemas menggunakan daun pokok berkenaan. Justeru, dakwaan pihak Barat bahawa ladang sawit kononnya menghapuskan habitat orang utan adalah tidak tepat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menurut Hairulazim, selain orang utan, gajah juga sering memasuki kawasan ladang sawit, khususnya ketika musim penanaman semula, berikutan umbut sawit menjadi antara makanan kegemaran mamalia besar itu.
Katanya pokok sawit yang ditebang mengeluarkan bau yang boleh dihidu gajah dari jarak sehingga 18 kilometer.
“Kebiasaannya, kehadiran kumpulan gajah ini dibiarkan dengan pemantauan pihak ladang selagi tidak mengganggu aktiviti lain. Namun, sekiranya berlaku konflik, haiwan berkenaan akan dipindahkan menggunakan pendekatan selamat dan beretika berpandukan garis panduan pihak berkuasa termasuk MPOGCF.
“MPOGCF turut bekerjasama dengan Earthworm Foundation, sebuah NGO dari London, untuk melatih pekebun kecil di Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor menggunakan dron bagi mengenal pasti kedudukan gajah serta mengawal pergerakan haiwan itu di kebun sawit,” katanya.
Beliau menegaskan situasi itu membuktikan pemuliharaan biodiversiti menerusi kehidupan bersama hidupan liar dan aktiviti pertanian boleh dilaksanakan secara seiring sekiranya diurus dengan baik.
Mengulas lanjut, Hairulazim berkata MPOGCF melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan termasuk Projek Pemulihan Habitat Orang Utan di Lower Kawag, Sabah yang melibatkan pemulihan hutan seluas 2,500 hektar, penanaman spesies pokok hutan natif serta penglibatan komuniti tempatan bagi meningkatkan ekonomi setempat.
Selain itu, katanya projek di Central Forest Spine (CFS) di Kelantan turut dilaksanakan bagi menyambung semula kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Malaysia, sekali gus meningkatkan populasi hidupan liar yang terancam akibat pembalakan, pembinaan infrastruktur jalan raya dan pembangunan perladangan.
Beliau turut menyenaraikan inisiatif lain seperti penanaman rumput napier di koridor hidupan liar dalam kawasan ladang Sabah Softwood Berhad di Brumas, Sabah; Program Diplomasi Orang Utan; pemasangan kolar satelit gajah; serta sistem amaran awal di kawasan pekebun kecil di Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor.
Mengakui aktiviti penanaman sawit pada era 1980-an melibatkan penebangan hutan, Hairulazim berkata amalan itu kini dilaksanakan secara terkawal dengan kerajaan tidak lagi membenarkan pembukaan ladang melalui kaedah berkenaan bagi mengekalkan lebih 50 peratus kawasan hutan negara.
Katanya industri sawit turut dipandu lebih 60 peraturan dan undang-undang, termasuk pematuhan kepada pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan mewajibkan pensijilan MSPO ke atas semua pekebun kecil, estet dan kilang kelapa sawit bagi tujuan eksport bagi memastikan pengeluaran minyak sawit dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan alam sekitar serta hidupan liar.
“Bagi memperoleh pensijilan ini, pekebun perlu mematuhi syarat ketat termasuk larangan penebangan hutan baharu untuk penanaman sawit serta pemeliharaan Kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV) bagi memastikan biodiversiti terus terpelihara,” katanya.
Hairulazim berkata MSPO turut diiktiraf Kesatuan Eropah (EU) kerana selari dengan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
Beliau berkata industri sawit menyumbang lebih tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion setahun, sekali gus mencerminkan komitmen terhadap kelestarian.
Selain itu, katanya MPOGCF turut menyertai lebih 20 pameran dan persidangan di peringkat tempatan serta antarabangsa, termasuk Kongres Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) 2025 dan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP).
“Kami kini dalam proses memohon keahlian IUCN memandangkan badan itu semakin memberi perhatian kepada industri sawit dan mula melihat bahawa sawit bukan lagi musuh alam sekitar. Malah, mereka turut mengeluarkan garis panduan bagaimana industri sawit boleh mesra biodiversiti. Dengan keahlian itu, kami dapat berkongsi dapatan kajian dalam kongres IUCN,” katanya.
Hairulazim berkata MPOGCF juga merancang untuk memberi pengiktirafan kepada ladang sawit yang mengamalkan pengurusan terbaik dari segi biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial